top of page

Empat sekeluarga dan Pelajar Sekolah Terselamat Kemalangan Motosikal

  • nabalunews
  • Aug 14, 2025
  • 1 min read

14 Ogos 2025

TAWAU: Seorang penunggang motosikal yang membonceng isteri dan dua anaknya parah selepas bertembung dengan sebuah lagi motosikal yang ditunggang pelajar tingkatan tiga dalam kejadian di Jalan Utara Baru, di sini, hari ini.


Dalam kejadian sekitar jam 6.25 pagi itu, penunggang motosikal berusia 38 tahun dilaporkan kritikal dan sedang ditidurkan untuk rawatan.


Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, isteri mangsa, 34, dan dua anaknya masing-masing berusia 9 dan 4 tahun dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Manakala katanya, pelajar yang sedang dalam perjalanan ke sekolah di SMK Pasir Putih dari arah Kampung Sri Menanti, mengalami kecederaan pada pergelangan tangan kiri.


“Kejadian melibatkan motosikal jenis Honda RS-X 150 ditunggang pelajar itu dan Yamaha NVX Scooter dinaiki empat sekeluarga terbabit.


“Kemalangan berlaku apabila kedua-dua motosikal yang datang dari arah bertentangan bertembung ketika melalui lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.


Menurutnya, difahamkan empat sekeluarga terbabit pula sedang dalam perjalanan menghantar anak ke Sekolah Islamiah.


Champin berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.


Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan agar menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Sarjan Razlan Razan (019 8234484) bagi membantu siasatan.



Tamat

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page