Empat Tabika Kemas bergabung sempena Hari Sukan Negara di Pantai Merdeka
- nabalunews
- Oct 17, 2024
- 1 min read

17 Oktober 2024
KOTA BELUD: Empat Tabika Kemas di Kota Belud akan bergabung bagi menganjurkan program sukaneka sempena Hari Sukan Negara yang dijadualkan berlangsung pada 24 Oktober ini, bertempat di Pantai Merdeka, Kampung Nanamun, Kota Belud.
Cikgu Evelyn Silverius, yang mewakili Bahagian Pendidikan Masyarakat Tabika Kemas Lasau Minunsud, menyatakan bahawa program ini dianjurkan bagi memupuk semangat kesukanan dalam kalangan kanak-kanak selain mengeratkan hubungan antara ibu bapa, guru, dan masyarakat setempat.
Beliau memaklumkan perkara itu ketika hadir menerima sumbangan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Sumbangan ikhlas daripada Ewon telah disampaikan oleh Clarence Somuil, Pemaju Masyarakat di Unit Pemimpin dan Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, yang turut menyatakan harapan agar program ini berjalan lancar dan memberi manfaat kepada semua yang terlibat.
Menurut Evelyn, sumbangan ini akan digunakan untuk membeli hadiah berupa hamper kepada kanak-kanak yang akan mengambil bahagian dalam program tersebut.
"Kami sangat berterima kasih atas sokongan yang diberikan oleh Ewon. Ini akan melonjakkan semangat kanak-kanak untuk menyertai sukaneka ini," tambahnya.
Program ini akan melibatkan empat buah Tabika Kemas, iaitu Tabika Kemas Lasau Minunsud, Lasau Podi, Bangkahak, dan Tabika Kemas Bangkahak Sumsum Kota Belud.
Dijangkakan seramai 100 orang akan hadir, termasuk kanak-kanak dan ibu bapa.
Program sukaneka ini dijangka mewujudkan suasana ceria dan penuh semangat, sejajar dengan objektif Hari Sukan Negara untuk menggalakkan masyarakat Malaysia terlibat aktif dalam aktiviti sukan.
Comments