Enakmen Pembangunan Belia Sabah dirangka perkukuh struktur dan organisasi belia
- nabalunews
- 29 minutes ago
- 2 min read

24 Mei 2025
KOTA KINABALU: Kerajaan akan merangka Enakmen Pembangunan Belia Sabah sebagai platform perundangan untuk memperkukuh struktur dan organisasi belia.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan juga mengiktiraf aktivisme belia secara rasmi, dan menyediakan ruang yang lebih sistematik untuk pembangunan jangka panjang.
“Melalui enakmen ini, kita mahu setiap pemimpin belia Sabah diberikan masa, ruang dan sokongan untuk memimpin dengan yakin serta menyumbang secara bermakna kepada negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Amal dan Perasmian Persatuan Kebajikan San Chuan Sabah di Dewan Hakka, dekat sini pada malam Jumaat.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.
Hajiji berkata, kerajaan sentiasa memberi penekanan terhadap kebajikan golongan belia kerana mereka adalah pembawa obor perubahan masa kini dan merupakan pemimpin negara masa depan.
Katanya, penglibatan belia secara aktif dalam kerja kebajikan mencerminkan kematangan dan keprihatinan terhadap masyarakat, disamping membuktikan kesediaan mereka untuk menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin masa hadapan.
“Mereka bukan sekadar pemimpin hari esok, tetapi penyumbang penting kepada kemajuan hari ini. Tenaga, kreativiti dan idealisme mereka harus digilap dan dimanfaatkan,” katanya.
Hajiji turut memuji pendekatan Persatuan Kebajikan San Chuan Sabah yang berjaya menarik penyertaan lebih 90 peratus golongan belia sebagai ahli aktif dan model penglibatanini harus dicontohi dan digalakkan.
"Kehadiran belia dalam kegiatan sukarela dan kebajikan menunjukkan mereka peduli, bertanggungjawab dan mampu menyatukan pelbagai komuniti untuk tujuan bersama", katanya turut merujuk kepada penggunaan media sosial sebagai alat penyebaran kesedaran yang berkesan oleh golongan muda.
Beliau juga menyambut baik inisiatif ahli persatuan itu yang kini dalam usaha mengumpul dana untuk memiliki bangunan sendiri, satu langkah strategik ke arah operasi yang lebih tersusun dan lestari.
Hajiji yakin dengan sokongan masyarakat serta para dermawan, impian ini akan menjadi kenyataan dan membuka lebih banyak ruang kepada aktiviti kebajikan di masa depan.
“Saya berharap kejayaan penganjuran majlis malam ini akan menjadi inspirasi kepada golongan belia untuk terus menyumbang kepada kebajikan masyarakat dan kemajuan negeri Sabah,” katanya.
Comments