top of page

Enam Lokasi Di Sabah Jadi Tumpuan Tayangan Skrin Besar Final Piala Dunia 2026

  • nabalunews
  • 1 day ago
  • 2 min read

Oleh: Romie Stanley DGuns


TAWAU, 10 Julai – Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah (KBSK) akan menganjurkan tayangan skrin besar perlawanan akhir Piala Dunia 2026 di enam lokasi terpilih di seluruh Sabah bagi menggalakkan penyertaan komuniti serta memupuk perpaduan melalui sukan.


Menterinya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada Festival Komuniti Havoc 2026 yang bertujuan menghimpunkan golongan belia dan masyarakat untuk bersama-sama menyaksikan kemuncak kejohanan bola sepak paling berprestij di dunia.


Menurut beliau, tayangan perlawanan akhir yang dijadual berlangsung pada 19 dan 20 Julai itu akan diadakan di Arena Belia Tawau, Kompleks Sukan Likas di Kota Kinabalu serta di Beaufort, Kudat, Keningau dan Sandakan.



Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran Festival Komuniti Havoc 2026 yang diadakan bersempena tayangan skrin besar perlawanan pusingan 16 terbaik antara Mesir dan Argentina di Arena Belia Tawau, pada 7 Julai.


Nizam berkata, program itu dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Sabah bagi memeriahkan sambutan Piala Dunia 2026 yang berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada, selain memberi peluang kepada rakyat Sabah menikmati pengalaman menyaksikan perlawanan akhir secara beramai-ramai.


Beliau berkata, Piala Dunia bukan sekadar kejohanan sukan, malah menjadi platform yang menonjolkan nilai dedikasi, disiplin, ketekunan dan semangat berpasukan yang wajar dijadikan teladan oleh golongan belia serta masyarakat.


Menurutnya, sukan juga berperanan sebagai medium penyatuan apabila rakyat daripada pelbagai kaum, etnik dan agama dapat berhimpun dalam suasana harmoni untuk menyokong pasukan pilihan masing-masing, sekali gus memperkukuhkan semangat perpaduan dan kebersamaan.


Sehubungan itu, beliau mengajak orang ramai hadir ke lokasi tayangan yang disediakan bagi memeriahkan suasana perlawanan akhir Piala Dunia 2026, yang hanya berlangsung sekali dalam tempoh empat tahun serta memberi peluang kepada peminat bola sepak merasai kemeriahan acara itu bersama komuniti setempat.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page