Enam Nelayan Vietnam Ditahan Bersama Rampasan RM2 juta
- nabalunews
- 8 hours ago
- 1 min read

25 Jun 2025
KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan enam warga Vietnam selepas didapati menceroboh masuk dan menangkap ikan secara haram di perairan negara, semalam.
Semua warga asing yang menaiki sebuah vesel nelayan itu ditemui di kedudukan 13 batu nautika timur laut Pulau Tigabu, Pitas, di sini, kira-kira jam 5.50 pagi.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, pencerobohan masuk vesel nelayan asing itu berjaya dikesan hasil daripada maklumat yang diterima dari orang awam.

Katanya, sejurus menerima maklumat berkenaan, bot ronda CENDERAWASIH 10 yang pada ketika itu sedang menjalankan rutin rondaan terus segera diatur gerak ke lokasi
untuk membuat pemantauan.
“Vesel berkenaan berjaya dikesan dan semasa cuba dihampiri, bot suspek cuba untuk melarikan diri namun berjaya dihentikan pasukan operasi untuk pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati, vesel berkenaan dinaiki enam individu warganegara Vietnam berusia lingkungan 27 hingga 44 tahun tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut terhadap bot berkenaan juga berjaya menemui alat menangkap Balat yang diperbuat daripada besi serta lebih kurang 300 liter minyak diesel.
“Semua suspek bersama bot seterusnya ditahan untuk siasatan lanjut dengan
anggaran nilai keseluruhan yang dirampas hampir RM2 juta.
“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1956/63,” katanya.
Sehubungan itu, Hasbullah menyeru kepada masyarakat khususnya komuniti maritim di
Kudat untuk sama-sama membantu Maritim Malaysia dengan melaporkan sebarang
salah laku atau kegiatan jenayah yang berlaku di perairan negara.
Katanya, sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Maritim Malaysia di talian 088-611858 (Pusat Operasi Kudat) atau talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam.
Comentários