top of page

Pesta Kaamatan 2026 tampil pembaharuan, perkukuh tarikan pelancong

  • nabalunews
  • 19 minutes ago
  • 2 min read

14 April 2026


PENAMPANG: Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 tampil dengan pelbagai pembaharuan termasuk penyediaan perkhidmatan bas ulang-alik, kaunter informasi serta penambahbaikan kemudahan bagi meningkatkan pengalaman pengunjung.


Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata, inisiatif itu dilaksanakan bagi memastikan kelancaran penganjuran sepanjang sambutan yang berlangsung sepanjang Mei ini.


"Pelancaran rasmi Pesta Kaamatan akan diadakan pada 1 Mei di Papar, manakala kemuncak sambutan berlangsung pada 30 dan 31 Mei di Kompleks Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA).


“Sambutan tahun ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijangka hadir pada 30 Mei manakala Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman pada 31 Mei,” katanya pada sidang media di Dewan Hongkod Koisaan, di sini, hari ini.


Joachim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026, berkata sambutan turut diadakan di peringkat daerah dan daerah kecil selain di beberapa lokasi luar Sabah termasuk Kuala Lumpur, Putrajaya, Pulau Pinang dan Kuching.


Mengulas lanjut, beliau berkata antara pembaharuan utama ialah pembukaan Kaunter Informasi Kaamatan dari 15 hingga 31 Mei bagi memudahkan pelancong mendapatkan maklumat berkaitan jadual program serta kepelbagaian budaya etnik di Sabah.


“Selain itu, perkhidmatan bas ulang-alik akan disediakan pada 30 dan 31 Mei melibatkan laluan KDCA–IMAGO dan Suria Sabah–KDCA bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas serta masalah parkir di sekitar kawasan KDCA.


“Bagi mengatasi kapasiti terhad di dalam dewan, skrin LED tambahan akan dipasang di bahagian belakang kompleks KDCA bagi membolehkan orang ramai menyaksikan siaran langsung acara di Dewan Hongkod,” katanya.


Beliau berkata, penambahbaikan turut dilakukan ke atas rumah-rumah tradisi termasuk menaik taraf kawasan tapak pameran agensi kerajaan bagi memastikan persekitaran lebih selesa dan teratur kepada pengunjung.


“Rumah terbuka akan diadakan di semua Rumah Tradisi pada 30 dan 31 Mei dari 11 pagi hingga 2 petang, namun tiada minuman beralkohol akan dijual atau dihidangkan, sebaliknya hanya minuman tradisional disediakan


“Pelbagai persembahan dan pameran tradisional akan dijalankan mengikut jadual di setiap Rumah Tradisi selain penganjuran pertandingan 'Kecemerlangan Pengurusan Rumah Tradisi' yang akan dinilai oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Lembaga Pelancongan Sabah dan Tourism Malaysia berdasarkan piawaian antarabangsa,” ujarnya.


Sementara itu, katanya pertandingan Unduk Ngadau Negeri pada tahun ini akan melaksanakan sesi pra-penjurian pada 30 Mei dan hanya 25 peserta terbaik akan berentap di peringkat akhir pada 31 Mei.


Tambah beliau, Jawatankuasa Hiis dan Manangon kini digabungkan dengan pertandingan Momohiis, Manangon dan Mongoroisol dan di jadual berlangsung pada 16 Mei ini.


"Pada tahun ini juga, Randawi Tavantang Kaamatan (RTK) dipilih sebagai salah satu aktiviti kebudayaan dalam upacara Pelancaran Perayaan Pesta Kaamatan di Papar dan selepas ini RTK akan mewakili Malaysia dalam program pertukaran budaya ke Indonesia," katanya.


Dalam pada itu, Joachim berkata permohonan telah dikemukakan kepada Malaysian Book of Records (MBOR) bagi mendapatkan pengiktirafan Pesta Kaamatan sebagai pesta menuai terpanjang di Malaysia.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page