BUDI Agri-Komoditi, BUDI Diesel dinaikkan RM400 sebulan untuk April
- nabalunews
- 2 hours ago
- 2 min read

14 April 2026
KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI bersetuju menaikkan bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Diesel Individu daripada RM300 kepada RM400 sebulan bagi bulan ini.
Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bantuan berkenaan akan disalurkan pada 21 April ini.
Menurut MoF, penambahbaikan bantuan itu merupakan langkah segera bagi meringankan beban rakyat serta memastikan aktiviti ekonomi negara berjalan lancar, susulan tekanan berterusan terhadap kos bahan api dan rantaian bekalan global akibat konflik di Asia Barat.
"BUDI Agri-Komoditi dijangka memanfaatkan lebih 200,000 petani dan pekebun kecil, dengan dana tambahan sekitar RM20 juta sebulan.
"BUDI Diesel Individu pula dijangka memanfaatkan sekitar 150,000 pemilik kenderaan diesel individu di Semenanjung Malaysia, dengan dana tambahan sekitar RM15 juta sebulan," menurut kenyataan itu.
Selain itu, kerajaan juga bersetuju untuk menaikkan kadar Insentif Pembajakan kepada Pesawah (IPKP) daripada RM160 kepada RM300 sehektar membabitkan musim penanaman pada tahun ini.
MOF memaklumkan, kenaikan tersebut membabitkan tambahan dana sekitar RM40 juta dan dijangka memanfaatkan hampir 200,000 pesawah padi yang sebahagiannya bakal memulakan penanaman padi pada bulan ini.
"Sebagai bantuan tambahan, tahun lalu juga Kerajaan Madani memperkenalkan Insentif Penuaian sebanyak RM50 untuk sehektar semusim bagi meringankan beban kenaikan kos input," katanya.
“MoF dijangka menanggung subsidi sekitar RM7 bilion untuk April 2026, termasuk dana tambahan RM75 juta untuk ketiga-tiga ikhtiar bantuan diesel,” kata kementerian itu.
Dalam pada itu, kerajaan turut bersetuju memudahcara pembelian diesel bagi kegunaan selain kenderaan.
Jelas MoF, syarat keperluan permit khas bagi pembelian melebihi 20 liter akan dilonggarkan, justeru pemilik mesin atau jentera pertanian dibenarkan membeli diesel melebihi had tersebut dengan mengemukakan pendaftaran jentera.
"Kerajaan akan memperincikan garis panduan pelaksanaan dalam tempoh terdekat," katanya.
Menurut MoF, penambahbaikan bantuan dilakukan dengan mengambil kira tekanan berterusan dalam pasaran tenaga global, khususnya gangguan bekalan petroleum di peringkat antarabangsa yang menyebabkan harga diesel bertapis meningkat ketara sehingga AS$250 setong.
Jumlah itu hampir tiga kali ganda berbanding sebelum konflik Asia Barat.











