Enam projek tebatan banjir lewat setakat Disember 2025
- nabalunews
- 3 hours ago
- 2 min read

22 Januari 2026
KUALA LUMPUR: Enam projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) berkeutamaan tinggi di seluruh negara dikenal pasti mengalami kelewatan jadual setakat Disember 2025.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata enam projek itu ialah RTB Sungai Solok, RTB Likas, RTB Baling Fasa 2, RTB Sungai Maran, RTB Sungai Klang Seksyen 25 dan RTB Sungai Damansara.
Menurutnya, hingga Disember 2025, sebanyak 37 projek dalam pelaksanaan mengikut jadual.
“Kelewatan pelaksanaan projek-projek secara umumnya berpunca daripada beberapa faktor utama antaranya isu berkaitan tanah termasuk pengambilan balik tanah dan pencerobohan, keperluan pengalihan utiliti sedia ada serta kelewatan kelulusan teknikal yang melibatkan pelbagai agensi.
“Selain itu, faktor cuaca ekstrem dan kejadian banjir luar biasa turut memberi kesan ketara terhadap kemajuan kerja di tapak,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) mengenai senarai projek RTB berkeutamaan tinggi yang mengalami kelewatan jadual setakat Disember 2025 serta penjelasan langkah mitigasi segera bagi kawasan yang masih terjejas teruk akibat kegagalan projek itu siap.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memandang serius kelewatan tersebut dan telah mengambil langkah penambahbaikan menerusi pengukuhan tadbir urus pelaksanaan projek.
“Ia termasuk pemantauan kemajuan secara lebih rapi serta penstrukturan semula jadual kerja serta penguatkuasaan terma kontrak termasuk tindakan terhadap kontraktor yang gagal mencapai prestasi ditetapkan.
“Selain itu, penyelarasan lebih intensif bersama Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan turut dipertingkat bagi mempercepatkan proses kelulusan dan penyelesaian isu di peringkat lapangan,” ujarnya.
Beliau berkata, sementara menunggu projek RTB siap sepenuhnya, PETRA melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memberi keutamaan kepada pelaksanaan langkah mitigasi segera jangka pendek bagi melindungi penduduk di kawasan terjejas.
Jelasnya, ia dilaksanakan melalui Projek Pemuliharaan Sungai untuk Mengurangkan Risiko Banjir, merangkumi kerja-kerja pengaluran sungai, penstabilan tebing sungai, serta serta naik taraf saluran dan struktur berkaitan.
“Bagi tempoh 2022 hingga 2025, sejumlah RM556.6 juta peruntukan telah disalurkan ke seluruh negara bagi melaksanakan kerja-kerja kecil ini, berdasarkan keutamaan kawasan berisiko tinggi yang dikenal pasti di peringkat negeri,” katanya.


















Comments