Enam sekeluarga cedera kemalangan
- nabalunews
- Mar 29
- 1 min read

29 Mac 2025
TAWAU: Enam sekeluarga cedera termasuk dua parah apabila kereta dinaiki bertembung dengan pacuan empat roda yang dipercayai cuba memotong sebuah lori tangki di Jalan Tibau - Maliau Basin, semalam.
Dalam kejadian jam 4 petang itu, pemandu kereta jenis Perodua Aruz berusia 47 tahun menerima lima jahitan di lutut, manakala, isterinya, 41, dan seorang anak perempuan, tujuh, cedera parah.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, semua mangsa yang cedera berusia lapan hingga 41 tahun.

Katanya, tiga lagi anak pasangan itu yang berusia di antara lapan hingga 12 tahun mengalami kecederaan ringan, manakala, pemandu Toyota Hilux, 31, tidak cedera.
“Siasatan awal di lokasi mendapati kemalangan berlaku ketika Perodua Aruz sedang dalam perjalanan dari arah Keningau menuju ke Bandar Tawau.
“Manakala, pacuan empat roda jenis Toyota Hilux pula bergerak dari arah Bandar Tawau menuju ke Kota Kinabalu.
"Apabila Perodua Aruz melalui selekoh di Jalan Tibau-Maliau Basin, tiba-tiba sebuah
Toyota Hilux yang datang dari arah bertentangan memotong sebuah lori dan masuk ke laluan mangsa.
"Disebabkan jarak yang terlalu dekat kedua-dua kenderaan bertembung dan mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan,"katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Jasmin berkata, semua mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Keningau dan polis masih meneruskan siasatan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.
Sehubungan itu, Jasmin menasihati semua pengguna jalanraya agar tidak bersikap mementingkan diri sehingga mengabaikan peraturan jalan raya, terutama di musim perayaan ini.
Dalam pada itu, video kemalangan berdurasi 0.45 saat dirakam dashcam pengguna jalan raya lain, turut tular di media sosial yang memaparkan detik-detik pertembungan dua kereta apabila Toyota Hilux berkenaan cuba memotong sebuah lori di kawasan selekoh.
Comments