Enam suspek kes curi ditahan
- nabalunews
- Feb 22, 2025
- 1 min read

22 Februari 2025
KOTA MARUDU: Polis berjaya menahan enam individu termasuk warga emas yang dipercayai terlibat dalam kegiatan jenayah curi di sekitar daerah ini.
Semua lelaki warga tempatan berusia 26 hingga 69 tahun itu berjaya ditahan dalam operasi yang dilaksanakan di enam lokasi berasingan.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, bertindak atas maklumat, pihak polis melancarkan operasi khas Op Bersepadu, Op Kesan dan Op Lusuh bagi mengesan suspek terlibat.

Katanya, hasil operasi berkenaan, enam suspek berjaya ditahan selepas dipercayai terlibat dalam beberapa jenayah curi yang dilaporkan berlaku di daerah Kota Marudu.
“Dengan tertangkapnya enam individu ini, polis percaya akan berjaya menyelesaikan beberapa kes jenayah curi yang berlaku di daerah ini.
“Empat daripada enam individu yang ditahan ini didapati positif dadah jenis methapetamine dan ada di antara mereka turut mempunyai rekod kesalahan lampau atas kesalahan jenayah dan dadah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Simiun berkata, semua suspek ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
“Jika sabit Kesalahan akan membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Sehubungan itu, Simiun merakamkan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat sehingga tertangkapnya semua penjenayah terlibat.
Katanya, pihak polis akan terus merancang pelbagai lagi operasi dari semasa ke semasa dalam usaha membenteras kes jenayah dan dadah di Daerah Kota Marudu dan Pitas.















Comments