Enam Warga Asing Ditahan JIM Labuan
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

15 April 2026
LABUAN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Labuan berjaya menahan enam warganegara Filipina selepas didapati gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah, semalam.
Dalam operasi Op Sapu yang berakhir jam 2 pagi itu, semua pendatang asing tanpa izin (PATI) terbabit ditahan hasil pemeriksaan di tiga lokasi kediaman di kawasan taman perumahan sekitar Wilayah Persekutuan Labuan.
Timbalan Pengarah JIM Labuan, Kalthom Ahmad berkata, semua suspek disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

Katanya, operasi berkenaan dilaksanakan hasil maklumat yang diterima daripada orang awam selain risikan yang dijalankan.
“Sepanjang operasi berkenaan, pihak JIM berjaya memeriksa seramai 21 individu melibatkan lelaki, wanita dan kanak-kanak dari pelbagai negara jiran.
“Pemeriksaan lanjut mendapati, enam daripadanya adalah warga Filipina dan gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau pas yang sah dan seterusnya telah ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini

Selain itu, katanya, pihaknya turut mengeluarkan sebanyak dua saman kepada saksi bagi membantu siasatan
“Semua individu ditahan telah dibawa ke Depot Imigresen JIM W.P Labuan untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Sehubungan itu, Kalthom berkata, JIM akan terus melaksanakan operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi mengesan, menangkap, mendakwa serta mengusir mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Katanya, orang ramai dan para majikan juga diingatkan agar tidak melindungi atau menggaji Pendatang Tanpa Izin (PATI) kerana tindakan tegas boleh diambil di bawah undang-undang sedia ada.
“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan PATI atau aktiviti yang melanggar undang-undang imigresen diminta untuk tampil menyalurkan maklumat bagi membantu pihak jabatan,” katanya.















Comments