ESSCOM puji keberanian batalion 20 PGA Beluran cegah penyeludupan
top of page
  • Wartawan Nabalu News

ESSCOM puji keberanian batalion 20 PGA Beluran cegah penyeludupan


30 Jun 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


BELURAN: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) memuji keberanian dan komitmen pasukan keselamatan Batalion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) Beluran yang berjaya menggagalkan aktiviti penyeludupan di Road Check Point (RCP) Sapi Nangoh, Beluran.


Komander Eastern Command, DCP Victor Bin Sanjos berkata, sepanjang suku kedua tahun 2023, RCP Sapi Nangoh telah mengekang aktiviti penyeludupan melalui pemeriksaan dan nilai rampasan dianggarkan mencecah RM627,000.00.


"Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada pegawai dan anggota pasukan keselamatan Batalion 20 PGA Beluran atas kejayaan ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Beliau berkata, semasa tinjauan kesiapsiagaan pasukan keselamatan di RCP Sapi Nangoh baru-baru ini, beliau telah memberikan pengiktirafan kepada 17 orang pegawai dan anggota Batalion 20 PGA Beluran sebagai penghargaan atas usaha mereka.

"Antara kejayaan yang dicapai oleh pasukan keselamatan di RCP Sapi Nangoh adalah menangkap dua orang suspek dan menggagalkan cubaan menyeludup ayam serta daging beku bernilai RM563,800.00 yang disiasat di bawah Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967," katanya.


Beliau turut menyatakan bahawa petugas tersebut juga berjaya menangkap seorang suspek dan merampas sebuah lori dengan muatan 3,600 liter minyak sawit Crude Palm Oil yang bernilai RM61,800.00 dan kes telah disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Lembaga Sawit Malaysia 2015, Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 (Akta 582).


"Kejayaan yang dicapai oleh pasukan keselamatan di ESS Zone ini adalah hasil koordinasi yang rapi dan kesepaduan operasi secara bersama oleh pelb@agai agensi diterajui ESSCOM sekali gus memastikan situasi keselamatan di kawasan ini terus kekal selamat," katanya.


Beliau juga menyeru semua pihak untuk terus memberi sokongan dan kerjasama kepada pasukan keselamatan dalam menjaga kedaulatan negara daripada ancaman keselamatan dan elemen jenayah rentas sempadan.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page