• Wartawan Nabalu News

ESSCOM RAMPAS 22,900 BUNGKUS ROKOK SELUDUP BERNILAI RM288,032 DI TAWAU


16 NOV 2020


TAWAU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) melalui Op Cegah Pati (OCP) Daratan Selatan di sini berjaya merampas 22,900 bungkus rokok seludup bernilai lebih RM 288,032.00 yang ditinggalkan di tepi pantai kampung hidayat, batu 4, Jalan Apas, di sini petang kelmarin.


Komander ESSCOM DCP Datuk Ahmad Fuad Othman berkata ketika kejadian kira-kira jam 7.35 petang itu, bertindak atas maklumat berkaitan penyeludupan rokok tidak bercukai daripada Radar ATM, telah mengesan pergerakan sebuah bot yang mencurigakan dari arah pulau sebatik menuju ke tebing laut Kampung Hidayat, batu 4.


Sehubungan itu, menurutnya sepasukan 22 anggota yang terdiri daripada Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA), 9 Rejimen Renjer Diraja (RRD) dan Unit Risik Pasukan Polis Marin yang diketuai oleh ESSCOM telah diaturgerak menuju ke lokasi kejadian untuk membuat pemeriksaan.


“Apabila tiba di tempat kejadian, anggota kita telah mengesan sebuah bot laju memecut meninggalkan tebing laut berkenaan melarikan diri menuju ke arah laut yang gelap.


“Pemeriksaan lanjut di kawasan tersebut telah menemui beberapa longgokan bungkusan plastik berwarna hijau dipercayai berisi rokok seludup tidak bercukai”, katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.


Antara jenis-jenis rokok seludup tidak bercukai yang berjaya dirampas termasuk 9,600 bungkus rokok jenama Primero, 10,200 bungkus rokok jenama Djarum Black dan 3,100 bungkus rokok jenama Surya Menthol Slim.


“Kesemua rokok-rokok ini disyaki diseludup untuk pasaran tempatan”, katanya.


Beliau berkata Kesemua barang rampasan telah dibawa ke balai polis Tawau untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat dibawah Seksyen 135(d) Akta Kastam 1967.


Ahmad Fuad merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pasukan keselamatan yang terlibat dalam membantu melancarkan operasi OCP Daratan Selatan di daerah ini.


Beliau berkata kejayaan ini merupakan hasil usaha dan semangat kerja berpasukan (team work) ESSCOM dengan kerjasama semua agensi keselamatan yang terlibat operasi ini yang berjaya mengesan dan sekaligus menggagalkan beberapa percubaan tekong-tekong laut membawa masuk barangan seludup seperti rokok, Syabu dan barang-barang kawalan yang lain.


Menurutnya lagi, ESSCOM dengan kerjasama semua agensi keselamatan yang terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia akan terus memperketatkan kawalan keselamatan di sempadan perairan dan daratan di seluruh daerah di ESSZone dengan mengadakan rondaan dan pemantauan secara agresif termasuk mengadaptasikan konsep “Show of Force” bagi mengawal kemasukan barang-barang seludup dan pati terutamanya daripada negara jiran.


Sementara itu, Ahmad Fuad sekali lagi mengulangi gesaan kepada Seluruh masyarakat di kawasan ESSZone khususnya kepada komuniti pesisir pantai agar sentiasa memberikan kerjasama dan sokongan kepada pasukan keselamatan termasuk menjadi “mata dan telinga” dengan menyalurkan maklumat penting terutamanya mengenai kemasukan rokok seludup mahupun PATI melalui laluan-laluan yang tidak diwartakan ataupun jalan tikus kepada pasukan keselamatan untuk tindakan segera.


“Komunit pesisir pantai juga diingatkan supaya jangan bersubahat dan bersekongkol dengan tekong-tekong darat dan laut yang cuba mengambil kesempatan untuk menyeludup sama ada rokok ataupun pati ke negara ini”.


“Tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati ada pihak atau individu dalam kalangan komuniti yang bertindak bersubahat atau melindungi pati termasuk bersekongkol dengan tekong-tekong darat dan laut”, katanya.

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com