ESSCOM tahan dua warga asing dan rampas rokok seludup bernilai RM872,000

29 Januari 2025
LAHAD DATU: Dua individu warga Filipina ditahan pihak berkuasa selepas disyaki menyeludup rokok putih pelbagai jenis dan tembakau bernilai hampir RM872,000 termasuk cukai.
Kedua-dua suspek ditahan Bahagian Keselamatan, Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) dalam serbuan di kawasan koloni setinggan atas air, Kampung Bakau, di sini, semalam.
Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, pihaknya melakukan serbuan berdasarkan maklumat awam berhubung aktiviti penyeludupan rokok di kawasan berkenaan.
Katanya, pihaknya berjaya menahan seorang wanita dan lelaki warga Filipina yang disyaki aktif melakukan aktiviti penyeludupan rokok tanpa cukai di sekitar daerah berkenaan.
“Pasukan serbuan turut berjaya merampas 580,000 batang rokok putih pelbagai jenis serta 440 bungkusan kecil tembakau.
“Semua barangan berkenaan dianggarkan bernilai RM871,854.40 termasuk cukai,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Victor berkata, pasukan operasi turut merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dan tiga bot enjin sangkut yang dipercayai digunakan untuk aktiviti penyeludupan.
“Kenderaan dan enjin bot ini dianggarkan bernilai RM62,000 dan menjadi nilai keseluruhan barang kes yang dirampas dalam operasi ini sebanyak RM933,854.40.
“Kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, manakala kes penyeludupan pula disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.
Sementara itu, Victor berkata, kejayaan tangkapan dan rampasan ini mencerminkan komitmen dan jaminan ESSCOM dalam mengurangkan Jenayah Rentas Sempadan (JRS) di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE).
Katanya, pihak ESSCOM sentiasa melakukan memantau dan akan terus memperhebat operasi-operasi khas khususnya dalam menjejak anasir asing bagi mengekang sebarang elemen yang boleh mengganggu gugat Keselamatan, ketenteraman dan kesejahteraan awam khususnya di pantai Timur Sabah.
“Justeru, saya amat mengalu-alukan kerjasama orang awam melaporkan terus sebarang maklumat, aktiviti dan insiden mencurigakan ke Pusat Operasi ESSCOM.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan menerusi talian 089-863181 atau melalui aplikasi Whatsapp di talian 011-63311072,” katanya.
Comments