Scammer Gunakan Sentimen Perayaan, Pengguna Diminta Waspada
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
3 Mac 2026
KOTA BELUD: Masyarakat diminta lebih berhati-hati ketika membuat urus niaga dalam talian susulan taktik baru sindiket penipuan yang kini menggunakan sentimen perayaan untuk memancing mangsa.
Perkara itu dinyatakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud menerusi perkongsian di laman Facebook rasminya baru-baru ini. Menjelang musim perayaan, scammer dilihat semakin aktif mengubah cara dan teknik bagi memperdaya pengguna hingga menyebabkan mangsa mengalami kerugian.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa beringat ketika berurusan secara dalam talian dengan menggunakan platform yang boleh dipercayai dan lebih selamat. Pengguna juga tidak digalakkan untuk berurusan di luar daripada platform yang telah ditetapkan, sebaliknya menyelesaikan semua urus niaga dalam platform yang sama bagi mengelakkan risiko penipuan.

Orang ramai turut diminta meneliti terlebih dahulu sekiranya terdapat harga yang terlalu murah sebelum memulakan sesuatu pembelian, selain menyemak review dan feedback pembeli lain sebagai langkah berjaga-jaga. Bagi memastikan keselamatan urusan, pengguna boleh membuat semakan akaun menerusi laman web "Semak Mule" atau memuat turun aplikasi tersebut di telefon pintar masing-masing.
Sekiranya menjadi mangsa penipuan, orang ramai dinasihatkan supaya segera menghubungi hotline bank masing-masing untuk menghentikan sebarang transaksi mencurigakan. Laporan juga boleh dibuat ke Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di talian 997 serta membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.















Comments