top of page

Blok Borneo bukan ancaman Persekutuan, jangan kelirukan rakyat

  • nabalunews
  • 3 days ago
  • 2 min read

3 Mac 2026


KOTA KINABALU: Kenyataan yang menggambarkan Blok Borneo sebagai strategi untuk “mengawal Malaya” bukan sahaja tersasar daripada realiti sejarah, malah berpotensi mengelirukan serta menakut-nakutkan rakyat.


Pemimpin muda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Achmad Noorasyrul Noortaip, berkata naratif sedemikian membina persepsi seolah-olah Sabah dan Sarawak merancang dominasi politik.


Katanya, hakikatnya usaha penyatuan suara kedua-dua wilayah itu merupakan sebahagian daripada proses federalisme sah dan matang dalam sebuah negara yang dibentuk menerusi perjanjian bersama.


“Malaysia tidak lahir melalui penyerapan sepihak. Ia terbentuk melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dipersetujui antara Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak serta Singapura, dan dokumen tersebut bukan simbolik, tetapi asas perundangan dan politik pembentukan negara.


“Apabila Sabah dan Sarawak menuntut pelaksanaan perkara yang masih belum disempurnakan, ia bukan tindakan melampau atau cubaan menguasai mana-mana wilayah, sebaliknya bagi memastikan komitmen Persekutuan ditunaikan seperti yang dipersetujui lebih enam dekad lalu,” katanya.


Beliau mengulas kenyataan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Mohd Zaid Ibrahim yang mendakwa Sabah dan Sarawak berada dalam kedudukan strategik untuk ‘mengawal’ Malaya melalui perancangan politik dikenali sebagai Blok Borneo.


Dalam pada itu, Achmad Noorasyrul turut menolak tafsiran yang menyederhanakan sejarah secara tidak adil dengan menggambarkan Sabah dan Sarawak sebagai sekadar bekas koloni British yang menerima kelebihan luar biasa.


“Proses pembentukan Malaysia melalui Suruhanjaya Cobbold dan rundingan antara kerajaan-kerajaan terlibat menunjukkan adanya persetujuan rakyat dan kepimpinan tempatan.


“Autonomi imigresen, hak kewangan tertentu serta kuasa pentadbiran khusus bukanlah imbuhan politik, tetapi syarat yang menjadi asas keyakinan untuk menyertai pembentukan Malaysia,” ujarnya.


Mengulas isu Petroleum Development Act 1974, sempadan perairan dan hak hasil negeri 40 peratus, Achmad berkata perkara itu sering digambarkan sebagai tuntutan tidak berkesudahan sedangkan ia berakar daripada teks perjanjian dan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.


Menurutnya, rundingan mengenai tafsiran dan pelaksanaan bukan ancaman kepada negara, sebaliknya sebahagian daripada dinamika persekutuan yang sihat dan dalam sistem demokrasi berparlimen, pembentukan blok politik bukan sesuatu yang asing.


“Blok Borneo wujud bukan untuk menafikan hak Semenanjung atau merampas kepimpinan nasional, tetapi lahir daripada kesedaran bahawa Sabah dan Sarawak perlu bersatu suara bagi memastikan kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak tidak terpinggir dalam percaturan politik nasional.


“Jika usaha memperkukuh suara kolektif ini dianggap sebagai ancaman, maka persoalannya bukan pada niat Sabah dan Sarawak, tetapi pada persepsi yang sengaja dibentuk untuk menimbulkan kebimbangan,” katanya.


Beliau menambah, naratif yang mempersoalkan kewujudan Blok Borneo juga berpotensi mencetuskan sentimen tidak sihat antara wilayah dan menimbulkan rasa curiga dalam kalangan rakyat Semenanjung, seolah-olah wujud persaingan kuasa antara wilayah.


Katanya lagi, Malaysia tidak akan menjadi lemah apabila hak-hak negeri dihormati, malah akan menjadi lebih kukuh apabila setiap komponen Persekutuan merasakan dirinya dilayan secara adil dan setara.


“Sabah dan Sarawak tidak menuntut keistimewaan baharu sebaliknya hanya menuntut pelaksanaan komitmen lama, dan dalam konteks ini, Blok Borneo bukan simbol perpecahan, tetapi mekanisme politik untuk memastikan semangat asal pembentukan Malaysia terus dipertahankan.


“Menyemai ketakutan bahawa Sabah dan Sarawak ingin “mengawal” negara hanya mengalih perhatian daripada isu sebenar, iaitu bagaimana memperkukuh struktur federalisme supaya lebih seimbang dan berfungsi dengan baik,” katanya.


Beliau menegaskan perpaduan nasional perlu dibina melalui penghormatan terhadap perjanjian, sejarah dan hak yang dipersetujui bersama, selaras dengan prinsip perkongsian dan kesaksamaan yang menjadi asas pembentukan negara.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page