ESSCOM TAHAN SEORANG TEKONG DARAT CUBA SELUDUP MASUK 13 PATI DI BELURANESSCOM TAHAN SEORANG TEKONG DARAT CUBA SELUDUP MASUK 13 PATI DI BELURAN
top of page
  • Wartawan Nabalu News

ESSCOM TAHAN SEORANG TEKONG DARAT CUBA SELUDUP MASUK 13 PATI DI BELURAN


13 Nov 2020

Oleh Wartawan Nabalu News


BELURAN: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di sini berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berumur 40, disyaki cuba menyeludup masuk 13 pendatang asing tanpa izin (PATI), di sini pada Rabu.

Komander ESSCOM DCP Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, kesemua mereka ditahan ketika cuba menyesup masuk melalui jalan tikus iaitu di laluan Kota Kinabalu lama – Beluran semasa dalam perjalanan dari Beluran menuju ke ladang-ladang di sekitar kawasan berkenaan.

Beliau berkata lori yang dipandu oleh lelaki tempatan berkenaan disyaki mengambil laluan pintas dengan melalui jalan Tikus tersebut bagi mengelak dari diperiksa oleh pusat pemeriksaan daratan (road check point) RCP Sapi Nangoh.

Menurutnya lagi, ketika kejadian kira-kira jam 8.40 malam itu, bertindak atas maklumat kemasukan PATI, sepasukan 6 anggota Batalion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) telah menahan dan memeriksa sebuah lori berwarna hijau yang melalui lorong tikus (laluan KK lama – beluran) dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan lanjut terhadap belakang lori berkenaan, menemui 13 penumpang yang terdiri daripada 8 lelaki dan 5 perempuan gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri.


“Kesemua PATI yang berumur antara 9 bulan hingga 42 tahun termasuk tekong darat tersebut telah dibawa ke balai polis Beluran untuk tindakan selanjutnya.

“Turut disita sebuah lori yang digunakan dalam kejadian berkenaan yang dianggarkan bernilai RM100,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ahmad Fuad berkata ESSCOM dengan kerjasama semua agensi keselamatan yang terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia akan terus memperketatkan kawalan keselamatan di sempadan perairan dan daratan di seluruh daerah di ESSZone dengan mengadakan rondaan dan pemantauan secara agresif termasuk mengadaptasikan konsep “Show of Force” untuk menimbulkan rasa gerun bagi mengawal dan mengekang kemasukan pati terutamanya daripada negara jiran dalam usaha kita untuk mengekang dan memutuskan rangkaian Covid-19 daripada merebak dibawa masuk ke negara ini melalui pati.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi keselamatan yang terlibat dalam membantu melancarkan operasi Op Cegah Pati (OCP) daratan terutamanya daripada pasukan batalion 20 PGA”, katanya.

Sementara itu, Ahmad Fuad sekali lagi mengulangi gesaan kepada seluruh masyarakat di kawasan ESSZone agar sentiasa memberikan kerjasama dan sokongan kepada pasukan keselamatan termasuk menjadi “mata dan telinga” dengan menyalurkan maklumat penting terutamanya mengenai kemasukan PATI melalui laluan-laluan yang tidak diwartakan ataupun jalan tikus kepada pasukan keselamatan untuk tindakan segera.

“Komuniti ESSZone juga diingatkan supaya jangan bersubahat dan bersekongkol dengan tekong-tekong darat dan laut yang cuba mengambil kesempatan untuk menyeludup pati ke negara ini”.

“Tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati ada pihak atau individu dalam kalangan komuniti yang bertindak bersubahat atau melindungi pati termasuk bersekongkol dengan tekong-tekong darat dan laut”, katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page