Ewon adakan kunjungan hormat kepada Premier dan Timbalan Premier Sarawak
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon adakan kunjungan hormat kepada Premier dan Timbalan Premier Sarawak


Ewon (kiri) dan Abang Johari pada kunjungan itu di pejabat Premier Sarawak.

9 Februari 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUCHING: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Openg dan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di sini, hari ini.


Antara yang dibincangkan dalam kunjungan itu ialah mengenai usaha untuk membangunkan bidang keusahawanan di Sarawak melalui agensi-agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).


Ewon (kanan) dan Awang Tengah.

Selepas kunjungan kepada Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Ewon dan rombongan turut diberikan taklimat mengenai pembangunan keusahawanan di Sarawak, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini.


Beberapa cadangan penambahbaikan, resolusi dan jalinan kerjasama juga telah dicadangkan kepada KUSKOP untuk manfaat para usahawan di Sarawak.


Ewon (dua dari kanan), Awang Tengah (kiri) dan Suriani (Kanan) bergambar bersama sebelum taklimat.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak Datuk Dr. Malcolm Mussen Ak. Lamoh, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dr. Ripin Lamat, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato’ Sri Suriani Ahmad dan pegawai-pegawai kanan KUSKOP.



Ewon mendengar penerangan mengenai projek pembangunan bersepadu Neu Pendington itu daripada Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif UDA Datuk Sr Mohd. Salem Kailany.

Selepas itu, Ewon menyempurnakan perasmian Galeri Jualan Baharu UDA Land Sarawak Sdn. Bhd di Sarawak Plaza.


Galeri jualan UDA Land Sarawak Sdn Bhd (UDA Land Sarawak) itu dibuka bagi mengetengahkan produk hartanah yang ditawarkan seterusnya memudahkan pelanggan mendapatkan maklumat produk.


Ewon Tengah) memotong reben sebagai simbolik perasmian pameran itu.

Antara projek yang dipamerkan adalah 'Neu Pendington' yang sedang dibangunkan di atas tanah berkeluasan 12.6 ekar (5.1 hektar) di kawasan Pending, Kuching.


Projek pembangunan bersepadu pertama di Sarawak itu dibangunkan hasil usaha sama UDA dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan berjumlah RM496 juta.


Pembangunan bersepadu Neu Pendington itu merangkumi pembinaan 594 unit apartmen (2 blok 25 tingkat dengan 3 jenis keluasan), 262 unit kedai pejabat berstrata (3 jenis - 2, 4, & 6 tingkat) dan sebuah hotel 12 tingkat dengan 200 bilik.


Projek yang terletak di lokasi strategik berdekatan kawasan industri Pending Heights di Lot 9561, Seksyen 64, Kuching Town Land District, Jalan Datuk Marican Salleh, Kuching itu dijangka siap sepenuhnya pada 2029 di mana fasa pertama akan siap pada 2026 dan fasa kedua pada 2027.



Ewon dan rombongan kemudiannya meneruskan lawatan kerja ke permis usahawan dibawah SME Corp Malaysia, Dwanie Enterprise, Kuching sebelum mengadakan perjumpaan bersama ketua-ketua agensi KUSKOP di Sarawak, Rock Road Seafood Restaurant, di sini.



Pada hari ini, Ewon turut meluangkan masa mengadakan beberapa perjumpaan dengan dewan-dewan perniagaan iaitu Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazandusun Malaysia (KKCI), Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI) dan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) Sarawak.



bottom of page