top of page

Ewon adakan lawatan Kerja ke Kibing Solar di KKIP Sepanggar

  • nabalunews
  • 4 hours ago
  • 2 min read

ree

30 Disember 2025


KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri III yang juga Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) Sabah, Datuk Ewon Benedick mengadakan lawatan kerja ke SBH Kibing New Solar Energy di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), Sepanggar bagi meninjau operasi, prestasi serta perkembangan pengembangan perusahaan tersebut.


Dalam lawatan itu, beliau diberikan taklimat mengenai operasi syarikat, pencapaian semasa serta perancangan masa depan Kibing yang merupakan antara pelaburan perindustrian utama di Sabah.


“Saya berbangga dengan pencapaian Kibing serta inisiatif yang mereka jayakan termasuk mengambil lebih 84 peratus pekerja dari kalangan rakyat Sabah dan usaha untuk terus meningkatkan peratusan itu pada masa akan datang,” katanya.

ree

Selain itu Ewon turut menghargai pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu kepada masyarakat, selain menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri.


Pada masa sama, beliau menegaskan komitmen kerajaan dalam menangani isu kesesakan di Pelabuhan Sepanggar yang bukan sahaja memberi kesan kepada Kibing, tetapi turut membabitkan pemain industri lain di Sabah.


“Saya mengambil serius perkara ini dan memberi jaminan bahawa langkah proaktif akan diambil dengan melibatkan semua pemegang taruh bagi memastikan penyelesaian yang efektif,” katanya.

ree

Ewon berkata, pengukuhan ekosistem logistik dan infrastruktur pelabuhan amat penting bagi menyokong pertumbuhan sektor perindustrian dan menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi ke Sabah.


Lawatan kerja itu turut disertai Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah, Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah, KKIP Sdn. Bhd., Sabah Electricity, Suruhanjaya Tenaga Sabah, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Sabah, Jabatan Pembangunan Perindustrian (DIDR), Jabatan Keretapi Sabah serta wakil persatuan industri logistik negeri.


Turut serta dalam lawatan itu, Setiausaha Tetap MINDET Datuk Thomas Logijin, Pengurus Besar LPPS Dollyn Aloysius dan wakil-wakil jabatan dan agensi kerajaan negeri.


Kibing Solar adalah sebuah syarikat pembuatan kaca (solar glass) yang beroperasi di KKIP. Syarikat ini adalah sebahagian daripada Kibing Group, sebuah kumpulan pengeluar kaca dan bahan solar teknologi tinggi yang berpengalaman dari China.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page