Ewon alu-alukan kajian dan reka bentuk awalan sistem keretapi menghubungkan KKIP - Pelabuhan Sepanggar
- nabalunews
- 18m
- 2 min read

9 Disember 2025
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ewon Benedick mengalu-alukan pelaksanaan Kajian Kemungkinan dan Reka Bentuk Awalan Sistem Keretapi Menghubungkan Putatan ke Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP) dan Pelabuhan Sepanggar.
Beliau yang juga Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata, kajian itu penting bagi menentukan halatuju baharu sistem pengangkutan rel di negeri ini.
“Saya mengalu-alukan hasrat JKNS memulakan kajian ini dalam masa terdekat. Saya ingin melihat dapatan kajian ini kerana saya percaya keperluan sistem konektiviti yang lebih baik amat penting khususnya menghubungkan taman-taman perindustrian Sabah dengan pelabuhan di seluruh negeri.
“Dapatan kajian itu akan menjadi input penting dalam menentukan halatuju baharu sistem pengangkutan rel negeri, termasuk sokongan terhadap agenda pembangunan perindustrian dan logistik Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan kunjungan kerja ke Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS), di sini, hari ini.
Begitu juga dengan Kajian Kebolehlaksanaan Projek Kereta Api Trans Borneo yang sedang dilaksanakan, Ewon berkata, kementerian akan mengemukakan pandangan tambahan bagi memastikan kepentingan Sabah dalam kajian Trans- Borneo.
“Jabatan Keretapi Negeri Sabah telah mengemukakan pandangan mereka dengan memberi keutamaan kepada pelabuhan-pelabuhan di seluruh Sabah iaitu di Tawau, Lahad Datu, Sandakan, Kudat dan Kota Kinabalu,” katanya.
Beliau turut menyambut baik pelaksanaan Kajian Semula Kadar Tambang Perkhidmatan Keretapi serta kajian lain berkaitan peningkatan sistem dan aset rel.
“Dari segi hasil, JKNS kini mengutip sekitar RM1.2 juta setahun. Dengan kajian yang sedang dan akan dilaksanakan, saya percaya kerajaan dapat menggubal halatuju baharu bagi meningkatkan hasil tanpa mengabaikan peranan jabatan memberi perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.
Ewon berkata, kementeriannya akan terus memperkasakan perkhidmatan rel sebagai sistem pengangkutan pilihan rakyat Sabah pada masa hadapan.
“Saya ingin melihat wawasan jangka panjang pengangkutan keretapi menjadi mode utama mobiliti rakyat Sabah. Usaha ke arah itu sentiasa diambil oleh JKNS dan saya akan sentiasa menyokong setiap pelan menaik taraf kelengkapan serta perkhidmatan mereka,” katanya.
Ewon berharap pasukan Sabah First di JKNS terus diperkasakan bagi memastikan perkhidmatan berkualiti, selamat dan berkesan kepada rakyat.
Sementara itu, Pengarah JKNS, Ir. Mohammad Safri berkata, Kajian Kebolehlaksanaan Projek Kereta Api Trans Borneo dijalankan selama 12 bulan dan dijangka siap pada penghujung 2026.
Manakala Kajian Kemungkinan dan Reka Bentuk Awalan Sistem Keretapi Putatan–KKIP–Pelabuhan Sepanggar akan bermula dalam masa terdekat dan dijangka siap 12 bulan.
Pada kunjungan itu Ir. Mohammad Safri memberikan taklimat mengenai perkhidmatan sedia ada, cabaran serta inisiatif baharu jabatan berkenaan.
Turut serta dalam kunjungan itu Pembantu Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Datuk Jonnybone J.Kurum, Setiausaha Tetap Kementerian Datuk Thomas Logijin, pegawai-pegawai kementerian dan JKNS.


















Comments