top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon alu-alukan YPPKM sedia pembiayaan peniaga kecil Cina di Sabah


20 Mei 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mengalu-alukan inisiatif Yayasan Penjaja dan Peniaga Kecil Malaysia (YPPKM) menyediakan pembiayaan kepada golongan peniaga kecil Cina di Sabah.


Beliau berkata, Skim Transformasi Pinjaman yang disediakan YPPKM menawarkan pembiayaan sehingga RM50,000 tanpa memerlukan penjamin dengan kadar faedah empat peratus.


“Ini sesuatu yang sangat baik sama seperti yang ditawarkan oleh Tekun Nasional, satu agensi di bawah kementerian saya.


“Pembiayaan yang disediakan oleh YPPKM ini pastinya akan memberi manfaat kepada puluhan ribu usahawan atau penjaja dan peniaga kecil Cina di Sabah,” katanya.

Ewon (tengah) ketika merasmikan majlis itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Taklimat Perjalanan Menuju Kejayaan Siri 4 untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan Skim Transformasi 2.0, di Hotel Le Meridien, di sini, hari ini.


Program anjuran Yayasan Penjaja dan Peniaga Kecil Malaysia itu menghimpunkan lebih 200 wakil perniagaan dari Sabah.


Turut hadir Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah Phoong Jin Zhe dan Pengerusi YPPKM Tan Sri Chang Ko Youn.


Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, program yang julung kalinya dianjurkan YPPKM di Sabah memberi manfaat kepada pelbagai persatuan usahawan dan dewan perniagaan Cina di negeri ini.

“Ini merupakan kali pertama YPPKM berkunjung ke Sabah dan bagi pihak penjaja dan peniaga kecil di Sabah saya mengalu-alukan dan menghargai usaha penganjuran ini.


“Beberpa bulan lepas YPPKM berkunjung ke pejabat saya di kementerian dan saya telah menjemput mereka untuk datang memberikan taklimat pembiayaan kepada peniaga kecil Cina di Sabah. Syukur program ini berjalan lancar,” katanya.


Beliau juga memuji usaha YPPKM kerana mempercepatkan proses permohonan pinjaman daripada para peniaga kecil Cina di Sabah.


“Saya amat pasti tindakan segera memproses permohonan pinjaman dapat membantu pemilik perniagaan di kalangan masyarakat Cina di Sabah.

“Saya berharap selepas ini lebih ramai masyarakat Cina merebut peluang yang disediakan oleh YPPKM,” katanya.


Ewon juga mahu YPPKM meneruskan perkhidmatan untuk para penjaja dan peniaga kecil masyarakat Cina di Sabah.


Sementara itu Phoong berkata, kementeriannya mengalu-alukan kerjasama dengan YPPKM bagi membantu lebih ramai peniaga kecil masyarakat Cina di negeri ini.


“Program pada hari ini adalah satu permulaan yang baik untuk para peniaga kecil Cina di Sabah. Saya berharap program seumpama ini diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Bagi pihak penganjur, Chang berkata, mereka akan meneruskan program seumpama itu di beberapa tempat di Sabah antaranya di Tawau dan Sandakan bagi memberi peluang lebih ramai peniaga Cina menyertainya.


“Kami amat berterima kasih kerana mendapat sokongan dan kerjasama penuh daripada kedua-dua menteri mewakili menteri persekutuan dan menteri kerajaan negeri untuk memperluaskan perkhidmatan YPPKM,” katanya.


Beliau berkata YPPM mengendalikan skim mikro kredit untuk membiayai keperluan semasa para penjaja dan peniaga kecil Cina dan membantu mereka menjana perniagaan bagi meningkatkan ekonomi.

“Pinjaman yang kami berikan kepada para peniaga bukan peruntukan daripada kerajaan pusat tetapi kami pinjam daripada kerajaan pusat dan pinjamkan kepada peniaga untuk membantu mereka yang berhadapan pelbagai cabaran dalam perniagaan,” katanya.

Comments


bottom of page