Ewon bangkitkan isu bantuan komputer riba bagi anak-anak pastor di IPTA/IPTS
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon bangkitkan isu bantuan komputer riba bagi anak-anak pastor di IPTA/IPTS


23 Mac 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick membangkitkan isu berkenaan program bantuan komputer riba untuk anak-anak pastor Kristian yang mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi.


“Saya ucap tahniah kepada Kerajaan atas pelbagai inisiatif baharu yang diperkenalkan bagi membantu pendidikan anak-anak kita. Ianya wajar disokong.


“Bagaimanapun berkenaan dengan bantuan komputer riba untuk para pelajar yang meneruskan pelajaran ke pengajian tinggi, berdasarkan ucapan menteri, ianya dikhususkan kepada keluarga yang berdaftar dalam e-Kasih bermula tahun ini.


“Saya ingin membangkitkan situasi di akar umbi yang berlaku di Kadamaian dan juga kawasan lain, di mana keluarga mereka tidak berdaftar dalam sistem e-Kasih tetapi ibu bapa tidak mempunyai pendapatan tetap iaitu golongan pastor-pastor Kristian. Pendapatan mereka bergantung kepada pungutan daripada jemaat di gereja masing-masing.


“Tetapi anak-anak mereka melanjutkan pelajaran ke IPTA dan IPTS, mereka juga memerlukan bantuan komputer riba. Apakah mekanisme yang membolehkan mereka boleh menikmati bantuan tersebut memandangkan keluarga mereka tidak terdaftar dalam e-Kasih?” kata Ewon.


Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif yang menyampaikan ucapan penggulungan berkenaan isu-isu berkaitan pendidikan menyatakan beliau mengambil maklum dan akan mengkaji mekanisme bagi membantu anak-anak pastor Kristian yang melanjutkan pengajian tinggi dan memerlukan bantuan komputer riba tersebut.


“Saya ambil maklum perkara yang dibangkitkan oleh YB Kadamaian dan akan cari mekanisme bagaimana dapat membantu. Bukan hanya isu bantuan ini yang dibangkitkan oleh YB Kadamaian, tetapi juga isu kemudahan kelas, kerusi dan meja bagi sekolah-sekolah di Kadamaian,” katanya.

bottom of page