Ewon Bantu Mangsa Kebakaran Melangkap Kapa
- nabalunews
- Feb 23
- 2 min read

23 Februari 2026
KOTA BELUD: Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian bersama Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian telah mengadakan kunjungan ziarah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Komuniti Melangkap Tiong semalam bagi membantu mangsa kebakaran di Kampung Melangkap Kapa.
Kunjungan yang diadakan pada 22 Februari 2026 itu telah diketuai oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kadamaian, Jeremy @ Ukoh Malajad. Program ihsan tersebut bertujuan mewakili ADUN Kadamaian, Datuk Ewon Benedick yang juga Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, untuk menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian kepada mangsa yang terjejas.
Seramai 46 orang daripada 15 buah keluarga kini ditempatkan di PPS berkenaan. Mereka terdiri daripada 10 lelaki dewasa, 13 perempuan dewasa, lima kanak-kanak lelaki, lima kanak-kanak perempuan, empat bayi lelaki, dua bayi perempuan, empat warga emas lelaki dan tiga warga emas perempuan. Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) yang tinggal di rumah yang terkesan turut menerima perhatian khusus dalam agihan bantuan ini.
Sumbangan yang diserahkan merupakan barangan keperluan asas yang diminta oleh urus setia PPS, antaranya termasuk beras, air mineral, pampers bayi dan kanak-kanak, susu bayi dan kanak-kanak, mi segera, minuman tiga dalam satu, biskut serta pampers dewasa untuk kegunaan OKU.
Kehadiran rombongan UPPM ini adalah susulan kepada lawatan Ewon sendiri ke lokasi kejadian pada hari kebakaran, 21 Februari 2026. Dalam kejadian pada Sabtu lalu itu, sebanyak 11 buah rumah musnah dijilat api manakala tiga lagi rumah turut terkesan.
Jeremy turut menyampaikan salam daripada Ewon yang berharap sumbangan tersebut dapat meringankan sedikit sebanyak beban yang ditanggung oleh mangsa yang terlibat dalam musibah ini.

Turut hadir mengiringi PPM Jeremy dalam kunjungan tersebut ialah Pegawai Kemajuan Masyarakat Kadamaian, Fandhy Rajin, Pemaju Mukim Hadlee Panchai, Pemaju Mukim Melon Yaming serta petugas Pusat Khidmat ADUN Kadamaian, Shainim Epin.















Comments