Ewon cadang agensi khas bangunkan dengan lebih agresif daerah termiskin di Sabah
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon cadang agensi khas bangunkan dengan lebih agresif daerah termiskin di Sabah


20 Julai 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick mencadangkan agar Kerajaan menubuhkan agensi khas bagi membangunkan daerah-daerah termiskin di Sabah dengan lebih agresif.


Menurut beliau, Kerajaan tidak boleh melaksanakan pendekatan-pendekatan sedia ada dan cara kerja yang sama bagi mengeluarkan daerah-daerah termiskin ini daripada kepompong kemiskinan.


Lapan daerah di Sabah yang tersenarai sebagai daerah termiskin di Malaysia ialah Kudat, Pitas, Kota Belud, Kota Marudu, Beluran, Telupid, Tongod dan Nabawan.


“Saya mendengar jawapan daripada Menteri mengenai langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan untuk membasmi kemiskinan di daerah-daerah di Sabah.


“Saya berpendapat langkah-langkah tersebut adalah pendekatan sedia ada dengan cara kerja yang sama. Jika ini yang dilaksanakan, maka sepuluh tahun akan datang, daerah-daerah termiskin di Sabah tetap tidak dapat keluar dari senarai termiskin.


“Kita perlukan pendekatan dan usaha yang lebih agresif khusus untuk membangunkan daerah-daerah termiskin di Sabah. Adakah Kerajaan mempertimbangkan untuk menubuhkan agensi khas contohnya Akta Kemajuan Wilayah Utara Sabah bagi membangunkan daerah-daerah termiskin di utara Sabah atau sekurang-kurangnya satu agensi khas di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah yang memfokus kepada usaha-usaha agresif mengeluarkan kemiskinan daerah-daerah ini?


“Soalan ini juga merupakan satu cadangan saya kepada pihak Kerajaan,” katanya.


Ewon mengajukan cadangan dan soalan tersebut selepas Pembantu Menteri Kementerian Pembanguan Luar Bandar Samad Jamri menjawab soalan asal berkaitan langkah holisitik Kerajaan Negeri dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan dalam membasmi jurang kemiskinan tegar di Sabah.


Samad mengakui bahawa program-program yang akan dilaksanakan merupakan program sedia ada yang sedang berjalan.


Bagaimanapun, beliau menyatakan pandangan dan cadangan yang dikemukakan oleh Ewon sesuatu yang baik dan akan dibincangkan di peringkat Kementerian.


“Sebenarnya program-program di bawah KPLB masih program sedia ada. Namun demikian cadangan daripada YB Kadamaian adalah satu cadangan yang baik dan mudah-mudahan pihak kementerian akan menilai dan meneliti cadangan ini untuk kita angkat.


“Ini untuk memastikan kemiskinan tegar atau miskin di Sabah dapat kita tangani sebaiknya mungkin,” katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page