top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon cadang Jawatankuasa Antara Parti tuntut pelaksanaan Perjanjian Malaysia


18 Julai 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick mengulangi cadangan beliau sebelum ini agar sebuah Jawatankuasa Antara Parti diwujudkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi menuntut pelaksanaan hak-hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia dan Perlembagaan Persekutuan.


Beliau berkata, jawatankuasa tersebut bertujuan untuk memperkasakan tuntutan hak-hak Sabah dengan pelbagai pendekatan termasuk menggunakan platform mahkamah dan DUN Sabah.


“Saya ingin mengulangi cadangan yang saya kemukakan dalam sidang yang lepas agar kita mengwujudkan satu Jawatankuasa Antara Parti di Dewan Undangan Sabah bagi kita sama-sama menuntut hak-hak kita dalam Perjanjian Malaysia dan Perlembagaan Persekutuan termasuk yang berkaitan dengan revenue atau punca hasil untuk belanjawan pembangunan Sabah.


“Pihak Kerajaan Sabah boleh meneruskan pendekatan secara berunding dengan Kerajaan Persekutuan, sementara sebahagian kami boleh membawa pertikaian tertentu ke Mahkamah seperti hak Sabah memungut semula 40 peratus hasil persekutuan di Sabah di bawah Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan.


“Kita juga boleh menggunakan platform Dewan ini untuk menuntut hak kita atau bagi mencari revenue baharu seperti yang kita lakukan pada tahun 2019 apabila kita meluluskan Enakmen Cukai Jualan Produk Gas dan Minyak sebanyak 5% yang kini telah menjana revenue lebih RM1.5 bilion kepada Kerajaan Sabah.


“Kita juga boleh gunakan platform Dewan ini bagi menuntut 40 peratus hasil persekutuan di Sabah dengan mengujudkan enakmen khas bagi compell atau memastikan Kerajaan Persekutuan menyerahkan 40 peratus tersebut,” katanya.


Beliau berkata, demikian ketika berucap membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2022, pada persidangan dewan undangan negeri, di DUN Sabah hari ini.


Ewon berkata, pertikaian interpretasi oleh Kerajaan Sabah dan Kerajaan Persekutuan menyebabkan pelaksanaan pemungutan 40 peratus hasil persekutuan di Sabah belum dimuktamadkan.


“Menteri Kewangan II menyatakan dalam satu sidang media bahawa Kerajaan Sabah dan Kerajaan Persekutuan mempunyai intepretasi yang berbeza mengenai isu 40% seperti dalam Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan. Itu sebabnya perkara ini perlu dibawa ke mahkamah untuk dimuktamadkan,” katanya.


Ewon bersama ADUN-ADUN dan Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) Sabah telah memfailkan Saman Pemula (OS) di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 3 Jun lepas menuntut pelaksanaan pemberian semula 40 peratus hasil persekutuan di Sabah.

Comments


bottom of page