EWON CADANG MORATORIUM DILANJUTKAN
- Wartawan Nabalu News
- Nov 16, 2020
- 1 min read

16 NOV 2020
OLEH WARTAWAN NABALU NEWS
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick mencadangkan agar Kerajaan Negeri menuntut kepada Kerajaan Persekutuan melanjutkan moratorium sekurang-kurangnya tempoh enam bulan lagi, bagi mengurangkan bebanan rakyat Sabah yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 dan pelaksanaan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Beliau berkata, pelanjutan moratorium amat diperlukan rakyat pada ketika ini, terutamanya yang kehilangan pekerjaan, sumber pendapatan dan pengusaha perniagaan.
“Mereka yang kehilangan punca pendapatan sedang berhadapan dengan kesukaran membayar semula pinjaman bank. Justeru, saya mencadangkan agar moratorium dilanjutkan.
“Kita sewajarnya beri (pelanjutan moratorium) kepada mereka kerana merekalah yang meletakkan kita di Dewan ini.
“Di bandar dan pekan, begitu banyak pengusaha perniagaan terjejas seperti tidak dapat beroperasi secara konsisten dan ada yang terpaksa berhenti berniaga tetapi pemilik bangunan kedai masih mahu mengutip sewa daripada mereka. Mereka juga perlukan bantuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Yang Di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, pada Isnin.
Ewon berkata, kerajaan juga perlu menyediakan program sokongan dan mudah-cara kepada mereka yang kehilangan pekerjaan tetapi mahu menceburi aktiviti keusahawanan bagi menjana pendapatan.
“Contohnya mereka yang dahulu menjadi juruterbang atau pramugari yang ingin membuka perniagaan berasaskan kulinari dan perkhidmatan berkaitannya atau mereka yang dahulunya bekerja dalam bidang pengurusan hotel dan kini mahu membangunkan aplikasi digital untuk dipasarkan kepada pengguna. Atau mereka yang ingin menceburkan diri dalam perusahaan sosial atau social enterprising,” katanya.
Beliau berkata, pejabat-pejabat Kerajaan seharusnya lebih bersifat memudah-carakan, bukannya membirokrasikan segmen masyarakat yang ingin menceburi bidang keusahawanan seperti ini.
Comments