Ewon cadang permuafakan menteri dan timbalan menteri Sabah untuk bela hak rakyat
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon cadang permuafakan menteri dan timbalan menteri Sabah untuk bela hak rakyat



10 Disember 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mencadangkan satu permuafakatan diantara menteri-menteri dan timbalan-timbalan menteri Sabah untuk membela hak rakyat negeri ini.


Beliau berkata kesepakatan itu penting bagi membantu menjayakan wawasan murni kerajaan Perpaduan terutama berkaitan dengan kepentingan rakyat Sabah.


“Sebab itu, saya akan mencadangkan kepada rakan saya saudara Armizan (Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) untuk kita buat permuafakatan dan perjumpaan yang konsisten diantara dua orang menteri dengan tujuh timbalan menteri.


“Kita akan berbincang bagaimana cara terbaik untuk kita mengangkat hak-hak Sabah dalam pimpinan Kerajaan Perpaduan," katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Eco Peak Condominium, di sini, hari ini.



Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, beliau juga akan bekerjasama dengan menteri dan timbalan-timbalan menteri Sabah untuk membawa lebih banyak pembangunan dan kemajuan di negeri ini.

“Tetapi apa yang lebih penting ialah menuntut hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia. Saya fikir ini yang wajar dan perlu kita laksanakan.


“Permuafakatan yang konsisten dan membincangkan hak-hak Sabah, seterusnya sama-sama angkat untuk diambil tindakan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), menteri dan kerajaan perpaduan,” katanya.


Ewon turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas pelantikan tujuh timbalan menteri dari Sabah.



“Ini satu jumlah yang tidak pernah ada dalam pimpinan kerajaan sebelum ini. Walaupun secara peribadi saya ingin melihat lebih banyak pelantikan menteri dan timbalan menteri dari Sabah, namun yang penting ialah pelantikan telah dibuat dan masanya untuk semua yang dilantik bekerja keras untuk rakyat Sabah.


“Sebab itu saya di sini memulakan tanggungjawab bukan hanya sebagai Menteri tetapi sebagai Ahli Parlimen Penampang untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya.


Semalam tujuh Ahli Parlimen dari Sabah dengan tiga daripadanya mewakili Barisan Nasional (BN) dilantik sebagai timbalan menteri dalam Kerajaan Perpaduan.


Tiga Ahli Parlimen BN Sabah itu ialah Datuk Siti Aminah Aching (UMNO - Beaufort) dilantik sebagai Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi; Datuk Mohamad Alamin (UMNO - Kimanis) sebagai Timbalan Menteri Luar dan Datuk Arthur Joseph Kurup (PBRS - Pensiangan) sebagai Timbalan Menteri Sains dan Teknologi.


Manakala Pakatan Harapan (PH) Sabah pula diwakili dua Ahli Parlimen, iaitu Chan Foong Hin dari DAP (Kota Kinabalu) dan Ahli Parlimen Sepanggar, Mustapha Sakmud (PKR), masing-masing dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, dan Timbalan Menteri Sumber Manusia.


Seorang wakil Gabungan Rakyat Sabah (GRS) iaitu Ahli Parlimen Batu Sapi, Khairul Firdaus Akbar Khan pula dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, manakala Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohd Yusof Apdal (WARISAN) dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi.


Sepanjang hari ini, Ewon mengadakan program turun padang ke enam kampung di Penampang untuk melihat sendiri permasalahan seterusnya membantu menyelesaikan setiap isu penduduk kampung berkenaan.


Lokasi-lokasi yang beliau lawat ialah Beverly Hills, Kg Putaton, Kg Guunsing, Kg Koidupan dan Kg Divato.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page