top of page

Ewon Dipuji Atas Keberanian Pertahan Hak Sabah – UPKO Bandau Anggap Tindakan Berprinsip

  • nabalunews
  • 4 hours ago
  • 2 min read

ree

22 Oktober 2025


KOTA MARUDU: Ketua Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum (CLC) Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Bandau, Suzie Salapan, menzahirkan penghargaan terhadap Datuk Ewon Benedick, Ahli Parlimen Penampang merangkap Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, atas ketegasan beliau dalam mempertahankan hak Sabah berkaitan pembayaran semula hasil 40 peratus seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.


Suzie memuji keberanian Ewon yang menyatakan kesediaannya mengundurkan diri daripada Kabinet sekiranya Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober lalu yang memihak kepada Sabah. Katanya, kenyataan Ewon itu merupakan amaran tegas kepada Putrajaya bahawa rakyat Sabah tidak akan berkompromi dalam isu hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


“Tindakan Ewon menunjukkan beliau tidak tunduk kepada tekanan politik dan tetap berpaksikan perjuangan rakyat Sabah,” jelas Suzie dalam satu kenyataan di sini.


Menurut Suzie, ramai pihak sebelum ini mengkritik keputusan Ewon menarik balik saman pemula terhadap Kerajaan Persekutuan, namun tidak memahami strategi di sebaliknya. Penarikan balik saman itu, jelasnya, menjadi asas kepada rundingan dalam Jawatankuasa Teknikal MA63 yang ditubuhkan pada 2023, dan hasilnya dua tuntutan utama Sabah telah berjaya diselesaikan.


Suzie menjelaskan bahawa langkah tersebut bukan tanda menyerah, sebaliknya pendekatan strategik untuk memastikan proses rundingan berjalan lebih lancar. Beliau turut menegaskan bahawa pendekatan sebegini pernah dilakukan oleh Datuk Seri Shafie Apdal ketika menjadi Ketua Menteri Sabah, apabila kerajaan negeri menerima peruntukan khas RM53.4 juta daripada Kerajaan Persekutuan sebagai simbol penghormatan terhadap proses rundingan.


“Kita telah memberi ruang yang mencukupi untuk berunding secara baik. Namun selepas keputusan mahkamah yang jelas, kini masa untuk bertindak tegas,” tambahnya.


Suzie menegaskan bahawa selepas Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan Kerajaan Persekutuan melanggar perjanjian, sebarang rayuan tidak wajar difailkan kerana keputusan tersebut perlu dihormati sepenuhnya. Menurutnya, ini menandakan tempoh rundingan telah tamat dan kini tiba masa untuk pelaksanaan tanpa kompromi seperti yang dipersetujui semasa penarikan balik saman terdahulu.


Beliau turut menegaskan bahawa jika Kerajaan Persekutuan gagal menunaikan tanggungjawab terhadap tuntutan pembayaran semula hasil tersebut, tindakan undang-undang boleh diteruskan bagi memastikan hak rakyat Sabah dilaksanakan.


Suzie memuji Ewon sebagai pemimpin berprinsip, tegas dan berani, yang meletakkan kepentingan negeri mengatasi kepentingan politik. Katanya, ketegasan Ewon menjadi contoh teladan kepada semua pemimpin Sabah agar tidak gentar dalam mempertahankan hak-hak negeri di peringkat persekutuan.


“Ewon menunjukkan bahawa kepimpinan sebenar bukan hanya tentang kedudukan dalam Kabinet, tetapi tentang keberanian memperjuangkan hak rakyat,” katanya lagi.


Tindakan Ewon itu dianggap sebagai manifestasi solidariti Sabah dalam menuntut keadilan dan pelaksanaan penuh hak-hak perlembagaan negeri, selaras dengan semangat MA63 yang menjadi asas pembentukan Malaysia.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page