top of page

Ewon gesa Alumni SMK Narinang ceburi keusahawanan

  • nabalunews
  • 6h
  • 2 min read

ree

21 Disember 2025


KOTA BELUD: Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) Sabah, Datuk Ewon Benedick menyeru Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Narinang supaya memainkan peranan lebih aktif dalam sektor perindustrian dan keusahawanan di Sabah, khususnya di kawasan Kadamaian.


Timbalan Ketua Menteri III itu berharap alumni sekolah berkenaan memanfaatkan peluang yang ada sekali gus menjadi rakan strategik dalam usaha kerajaan membangunkan ekonomi rakyat, terutama di peringkat komuniti luar bandar.


“Saya berharap alumni SMK Narinang menjadi sebahagian daripada sektor perindustrian dan keusahawanan Sabah termasuk di Kadamaian sendiri,” katanya.

ree

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Bekas Pelajar SMK Narinang di dewan sekolah itu, di sini, hari ini.


Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, Pelan Induk Pembangunan Kadamaian 2020-2035 yang diperkenalkan beliau menjadi landasan pembangunan holistik kawasan itu, selain pelaksanaan pendekatan baharu melalui Dasar “Sabah First” di MINDET.


“Di MINDET, wawasan saya adalah untuk membantu lebih ramai rakyat Sabah memperoleh pendapatan sama ada sebagai pemilik perniagaan ataupun sebagai pekerja dalam sektor keusahawanan dan perindustrian.

ree

“Saya percaya alumni SMK Narinang mempunyai potensi besar untuk menjadi sebahagian daripada ekosistem ini,” katanya.


Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM3,000 kepada Persatuan Bekas Pelajar SMK Narinang bagi membantu keperluan pentadbiran persatuan berkenaan.


Selepas itu, Ewon turut menyempurnakan penutupan Kejohanan Bola Sepak Bawah 12 anjuran Sekolah Rendah Adventist (SRA) Rangalau, Kadamaian.

ree

“Saya berbangga kerana sekolah mubaligh juga terus menjayakan inisiatif akar umbi seperti ini yang turut menarik penyertaan daripada luar Kadamaian.


“Sebagai sokongan berterusan, saya menyampaikan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada SRA Rangalau bagi melengkapkan keperluan sukan bola sepak yang diperlukan.


“Saya akan meneruskan pemberian geran aktiviti tahunan kepada semua sekolah dalam kawasan DUN Kadamaian sepertimana yang telah saya perkenalkan selama ini,” katanya.

ree

Pada majlis itu, Ewon turut menyampaikan hadiah tambahan kepada enam pasukan yang mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page