top of page

Ewon gesa Kerajaan Persekutuan gugurkan rayuan 40%, kembalikan hak rakyat Sabah

  • nabalunews
  • 6 hours ago
  • 2 min read

27 Januari 2026


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick menggesa Kerajaan Persekutuan supaya menggugurkan rayuan yang difailkan di Mahkamah Rayuan berhubung tuntutan hak 40 peratus Sabah, selaras dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober 2025.


Beliau berkata, tindakan menggugurkan rayuan dan melaksanakan perintah mahkamah itu penting bagi menghapuskan rasa sangsi dalam kalangan rakyat Sabah terhadap komitmen Kerajaan Persekutuan untuk menghormati hak-hak negeri seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


“Rakyat Sabah hanya mahu hak mereka dikembalikan. Mereka tidak akan mempertikai hak istimewa negeri-negeri lain dalam Perlembagaan persekutuan, hanya mahu hak Sabah dihormati dan dilaksanakan.


“Jika hak istimewa setiap negeri dihormati dan dilaksanakan, maka perpaduan dan negara Malaysia dapat dipertahankan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perbahasan ke atas Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Kebawah Duli Yang di-Pertuan Agong pada sesi persidangan Parlimen di sini, hari ini.


Ewon turut meminta penjelasan mengenai status beberapa perkara yang dirujuk kepada Jawatankuasa Tertinggi melibatkan Perdana Menteri, Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah, termasuk isu royalti minyak, pembayaran tunai petroleum, mineral dan medan minyak, Akta Laut Wilayah, hak negeri ke atas pelantar benua serta duti setem berkaitan urus niaga tanah di Sabah dan Sarawak.


Beliau turut bertanya bilakah jawatankuasa berkenaan akan bersidang bagi memuktamadkan perkara-perkara tersebut.


Ewon juga menyatakan sokongan penuh terhadap agenda reform nasional, antaranya penyasaran semula subsidi kerajaan, pindaan perlembagaan bagi menghadkan tempoh penggal Perdana Menteri, penggubalan undang-undang pendanaan parti politik, pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, semakan undang-undang lapuk serta inisiatif pendigitalan jentera penyampaian kerajaan.


Bagaimanapun, katanya, agenda reform itu perlu merangkumi kepentingan Sabah dan Sarawak melalui pelaksanaan penuh MA63.


Mengenai aspek ekonomi, Ewon menegaskan Sabah merupakan wilayah strategik di rantau Asia Pasifik dan memerlukan sokongan lebih menyeluruh bagi menarik pelaburan, termasuk melalui inisiatif BIMP-EAGA.


Beliau turut meminta penjelasan mengenai insentif pelaburan untuk menyokong pertumbuhan Ekonomi Biru Sabah, pembangunan taman perindustrian, cadangan pewujudan zon ekonomi khas, pembinaan lapangan terbang baharu di Lahad Datu atau Kota Kinabalu, pengembangan industri hiliran minyak sawit, pembangunan bersama dengan Indonesia di Laut Sulawesi serta cadangan mengembalikan status bebas cukai Labuan.


“Sejak bertahun lamanya, Sabah telah menyumbang kepada hasil persekutuan melalui sumber petroleum. Pada pandangan rakyat Sabah, sumbangan ini telah membantu ‘subsidize’ pembangunan di negeri-negeri lain,” katanya.


Sehubungan itu katanya, pelaksanaan semula hak 40 peratus seperti dipersetujui dalam MA63 amat penting bagi membiayai pembangunan infrastruktur, pembasmian kemiskinan, kesejahteraan rakyat, biasiswa, peluang pekerjaan dan peluasan perkhidmatan awam di Sabah.


Ewon berkata, kawasan Parlimen Penampang sendiri memerlukan peruntukan besar bagi projek tebatan banjir, pembaikan jalan raya dan utiliti, serta pembinaan hospital dan sekolah.


“Pelaksanaan semula hak 40 peratus Sabah akan membantu memenuhi keperluan rakyat. Rakyat Sabah telah bersuara dan akan terus bersuara.


“Di sebalik ketegasan semangat Sabah First, jiwa rakyat Sabah untuk negara Malaysia sebenarnya sangat besar. Kerana tanpa Sabah dan Sarawak, tidak akan ada negara Malaysia ini yang ditubuhkan pada 16 September 1963,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page