Ewon hadiri program gotong-royong Kg Melangkap Tomis
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon hadiri program gotong-royong Kg Melangkap Tomis


Penduduk kampung bergotong-royong membersihkan jalan utama kampung mereka.

25 April 2022

Oleh Wartawan Nabalu News

KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick meneruskan lawatannya ke kampung-kampung di Kadamaian pada Sabtu lepas bermula dengan meninjau program gotong-royong di kampung Melangkap Tomis. Gotong-royong tersebut diadakan bagi membersihkan jalan perhubungan utama kampung yang belum diselenggara oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR). “Saya telah dimaklumkan oleh penduduk bahawa belum ada penyelenggaraan jalan JKR di kampung ini menyebabkan mereka mengambil inisiatif untuk bergotong-royong membersih jalan ini. Saya berharap pihak syarikat yang telah dilantik oleh kerajaan dapat menjalankan tanggungjawab mereka dan membuat kerja-kerja penyelenggaraan dengan berkualiti.

Ewon menyampaikan sumbangan mesin pemotong rumput kepada wakil penduduk kampung.

“Saya minta para penduduk untuk memantau kerja-kerja penyelenggaraan atau pembinaan jalan yang dijalankan oleh syarikat yang telah dilantik tersebut. Saya akan membangkitkan kepada Menteri Kerja Raya atau di sidang Dewan Undangan Negeri jika mendapat aduan daripada para penduduk,” katanya. Ewon menyatakan beliau telah menyampaikan sumbangan membiayai program gotong-royong tersebut sebagai penyelesaian jangka pendek terutama selepas dimaklumkan mengenai permasalahan itu oleh penduduk kampung. Bagaimanapun, katanya Kerajaan khususnya JKR harus turun padang memastikan kualiti kerja syarikat yang dilantik untuk melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan jalan-jalan di Kadamaian.

Ewon menyampaikan sumbangan kepada Persekutuan Wanita Gereja SIB Kg Melangkap Tomis.

Ewon turut berharap agar pegawai-pegawai pembangunan di Pejabat Daerah Kota Belud juga pro-aktif turun padang memantau kerja-kerja pembinaan jalan konkrit perkampungan agar dapat memenuhi spesifikasi projek yang sebenar. “Penduduk kampung hari ini juga maklum dengan spesifikasi projek-projek kerajaan terutama kualiti bahan-bahan binaan yang digunakan bagi membina jalan konkrit. Jika bahan binaan tidak memenuhi spesifikasi yang standard, mereka boleh memaklumkan saya atau pejabat daerah agar tindakan tegas dapat diambil ke atas kontraktor yang dilantik,” katanya.

Ewon menyampaikan sumbangan kerusi roda d8 Kg. Melangkap Tomis.

Dalam program gotong-royong itu, Ewon menyampaikan sumbangan mesin pemotong rumput dan sumbangan RM700 kepada persekutuan wanita Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) Kg Melangkap Tomis. Beliau turut meluangkan masa mengadakan kunjungan ziarah kasih kepada salah seorang penduduk dan seterusnya menyampaikan sumbangan kerusi roda.



bottom of page