top of page

Pengerusi JKKK Kampung Tobur Audit Infrastruktur Kampung

  • nabalunews
  • 3h
  • 1 min read

15 Februari 2026


KOTA BELUD : Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tobur Kelawat yang baharu dilantik, Jolyvita Linye Juni, telah memulakan tugas secara rasmi dengan mengadakan lawatan kerja ke beberapa lokasi di sekitar kampung berkenaan pada 13 Februari lepas.


Lawatan bertujuan meninjau sendiri kesulitan, kekurangan serta kerosakan infrastruktur yang dihadapi penduduk di kawasan seliaannya.


Antara lokasi yang dilawati termasuk Jalan Dikulu, Jalan Monsonday, Jalan Silohon dan Jalan Torindak.


Hasil tinjauan mendapati jambatan utama menuju ke Kampung Tobur melalui Jalan Dikulu kerap dinaiki air ketika musim hujan, manakala penduduk di Jalan Monsonday memohon pembinaan jalan pertanian bagi memudahkan pergerakan dan aktiviti harian mereka.


Di Jalan Silohon, penduduk meminta agar laluan tembus dan penaburan batu segera dilaksanakan bagi kemudahan lima keluarga yang terjejas.


Sementara itu, keperluan mendesak turut dikenal pasti di Jalan Torindak iaitu pemasangan tiang elektrik untuk kemudahan Gereja Seventh Day Adventist (SDA) Kampung Tobur yang masih belum menikmati bekalan elektrik.


Penduduk Kampung Tobur turut menyuarakan harapan agar kerja-kerja pelebaran dan pendalaman parit di kawasan tanah padi Silohon dapat dilaksanakan.


Selain itu, pemasangan tabatan air di sungai utama turut dimohon bagi membolehkan aktiviti penanaman padi dihidupkan semula oleh warga kampung.


Sejurus selesai lawatan, Jolyvita telah mempengerusikan mesyuarat bersama Ahli Jawatankuasa JKKK dan ketua-ketua biro pada malam yang sama. Mesyuarat bertujuan membincang serta meminitkan setiap hasil tinjauan bagi tindakan lanjutan pihak berkaitan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page