top of page

Sembilan Deret Kedai Di Hadapan SMK Narinang Hangus Terbakar

  • nabalunews
  • 6 minutes ago
  • 2 min read

15 Februari 2026


KOTA BELUD: Sembilan deret rumah kedai jenis separa kekal di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Narinang Taginambur di sini, musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian balai pada jam 5.32 pagi.


Menurut beliau, sebaik tiba di lokasi yang terletak kira-kira 22 kilometer dari balai, pasukan bomba mendapati kebakaran telah membabitkan satu blok sembilan pintu dengan keluasan kira-kira 557 meter persegi, di mana 95 peratus daripadanya telah hangus terbakar.


"Tujuh anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah jentera Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian.


"Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang kira-kira 61 meter dengan dua pancutan. Sumber air diperoleh daripada jentera dan pili bomba di luar kawasan kejadian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Beliau memaklumkan bahawa pasukan bomba menghadapi cabaran apabila pili bomba berhampiran sekolah didapati tidak mempunyai tekanan air. Ini menyebabkan pasukan terpaksa bergerak kira-kira tiga kilometer ke kawasan Tag Valley bagi tujuan pengisian semula air menggunakan pili bomba di tepi jalan.


Dalam kejadian sama, seorang bapa kepada lima anak, berusia 32 tahun, mengalami kecederaan melecur pada muka dan badan. Mangsa nekad meredah kebakaran bagi menyelamatkan isteri serta tiga anaknya.


"Isterinya yang berusia 32 tahun serta empat anak mereka masing-masing berusia 11, lapan dan lima tahun serta seorang bayi lelaki berusia sebulan dilaporkan selamat. Semua mangsa menerima rawatan awal daripada pasukan EMRS dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum mangsa yang melecur dihantar ke Hospital Kota Belud untuk rawatan lanjut," katanya.


Operasi pemadaman berjaya dikawal pada jam 7.13 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.55 pagi. Tindakan overhaul dan pemeriksaan keselamatan telah dijalankan bagi memastikan tiada lagi risiko bahaya di lokasi kejadian.


Beliau menambah, operasi turut mendapat kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), KKM serta Bomba Sukarela Pangkalan Abai.


Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page