Ewon hadiri Sambutan Tahun Baharu SDA, salur bantuan dan tinjau keperluan infrastruktur di Kadamaian
- nabalunews
- 3 hours ago
- 2 min read

1 Januari 2026
KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick menghadiri Majlis Kesyukuran dan Sambutan Tahun Baharu Gereja Seventh Day Adventist (SDA) di Kg Gaur dan Kg Narinang.
Pada masa yang sama bbeliau turut menyalurkan bantuan kepada komuniti kampung serta meninjau keperluan infrastruktur di kawasan itu.
Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri III dan Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata, kehadirannya ke program sambutan Tahun Baharu SDA di Kg Gaur sudah menjadi tradisi sejak sebelum beliau menjadi wakil rakyat Kadamaian dan ia diteruskan sebagai tanda sokongan kepada masyarakat setempat.

Beliau turut melahirkan kegembiraan kerana beberapa keperluan pembangunan gereja serta sekolah Adventist di kawasan itu berjaya dilaksanakan termasuk pemasangan 13 unit penghawa dingin melalui peruntukan yang disalurkan tahun lalu.
“Semoga jemaat di sini terus diberkati dengan kesihatan, kesejahteraan dan kejayaan dalam urusan mereka pada tahun ini,” katanya.
Pada majlis itu, Ewon menyampaikan sumbangan Sentuhan Kasih ADUN Kadamaian berjumlah RM5,000 kepada Sekolah Rendah Adventist Gaur serta RM2,000 kepada Gaur Adventist Community bagi menyokong aktiviti pelayanan masyarakat.

Seterusnya, beliau menghadiri majlis sambutan Tahun Baharu SDA di Kg Narinang dan turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM10,000 bagi menggantikan kerusi kayu sedia ada di gereja tersebut sesuai keperluan semasa.
Dalam lawatan yang sama, beliau meninjau kerosakan jambatan gantung Kg Narinang–Kg Botung yang memerlukan pembaikan lebih baik.
Beliau berkata, pembinaan baharu jambatan gantung menggunakan bahan fiber telah dilaksanakan di Kadamaian sejak 2024 dan peruntukan akan disalurkan agar jambatan di Kampung Botung dibaik pulih menggunakan bahan lebih selamat dan tahan lama.

Selain itu, Ewon turut mengunjungi saudara Jumah dan keluarga di Kg Bundu Paka bagi menyampaikan ucapan takziah atas pemergian ibu tercinta beberapa hari lalu dan mendoakan agar keluarga diberikan kekuatan menghadapi kehilangan tersebut.


















Comments