Ewon hargai program khidmat masyarakat agensi Kerajaan di Kadamaian
top of page
  • Mark Gilbert

Ewon hargai program khidmat masyarakat agensi Kerajaan di Kadamaian


Ewon menyampaikan sumbangan tunai RM1500 dan kelengkapan gotong-royong kepada Pengerusi Jawatankuasa Masjid Al Ikhwan Kg Rajunah, Cikgu Mohd Faizal Abdullah.

11 Mac 2022

Oleh Mark Gilbert


KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick menghargai inisiatif-inisiatif yang diambil oleh agensi-agensi Kerajaan mengadakan program khidmat masyarakat di kawasan DUN Kadamaian.


Beliau berkata, kerjasama di antara agensi kerajaan dan rakyat serta silahturahim sesama rakyat sangat penting dalam mengurus dan membangun negara.


“Saya mengalu-alukan program gotong-royong bersama komuniti di Masjid Al-Ikhwan Kg Rajunah anjuran Jabatan Penjara Malaysia dan Pejabat Parol Kota Belud.


"Selaku ADUN di kawasan ini, saya menyokong inisiatif seumpama ini dan menyalurkan keperluan berkaitan. Saya mengalu-alukan lebih banyak agensi Kerajaan dan juga sektor swasta untuk mengadakan inisiatif bersama komuniti seperti ini,” katanya.

Ewon bergambar bersama peserta-peserta gotong-royong.

Ewon turut berharap agar komuniti, khususnya ahli keluarga agar dapat memberi sokongan kepada Orang Diparol (ODP) kerana sokongan dan penerimaan semula sangat mustahak selepas mereka keluar daripada penjara.


“Semua orang memerlukan peluang, samada peluang pertama, kedua atau peluang seterusnya. Dalam konteks Orang Diparol (ODP), peluang itu bermula daripada keluarga dan seterusnya komuniti.


“Pihak jabatan telah memilih tempat yang betul iaitu masjid bagi mereka bergotong-royong bersama komuniti. Mudah-mudahan mereka akan dapat menghadapi kehidupan hari esok yang lebih baik dan lebih bermakna melalui peluang serta sokongan yang diberikan,” katanya.

Ewon menyatakan demikian semasa menghadiri program gotong-royong bersama komuniti anjuran Jabatan Penjara Malaysia, Pejabat Parol Kota Belud dan Masjid Al-Ikhwan Kg Rajunah Kota Belud di sini, hari ini.


Dalam program tersebut, Ewon menyampaikan sumbangan kelengkapan dan bahan-bahan gotong royong serta sumbangan RM1500 kepada tabung masjid.


Turut hadir dalam program tersebut ialah Pengarah Jabatan Penjara Malaysia (Sabah & Labuan) Timbalan Komisioner Penjara Hajah Nora binti Musa.

bottom of page