top of page

Ewon hargai sokongan Hajiji bina Rumah SMJ untuk keluarga terjejas tanah runtuh di Penampang

  • nabalunews
  • Oct 3
  • 2 min read

ree

3 Oktober 2025


PENAMPANG: Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick, merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas kesediaan membina Rumah SMJ untuk keluarga kehilangan rumah akibat tanah runtuh di kawasan Penampang, baru-baru ini.


Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, sebanyak 23 buah rumah telah dikenalpasti musnah sepenuhnya (total loss) akibat bencana itu.


“Terima kasih Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor (Ketua Menteri Sabah) kerana meluluskan peruntukan pembinaan Rumah SMJ kepada 23 keluarga yang kehilangan rumah tersebut.

ree

“Waran pelaksanaan 23 Rumah SMJ telah diterima oleh Majlis Perbandaran Penampang (MPPg). Bagaimanapun, hanya 14 keluarga mempunyai tapak pembinaan manakala sembilan lagi masih berhadapan dengan isu ketiadaan tapak di kampung masing-masing,” katanya.


Beliau demikian selepas mengunjungi pusat penempatan sementara kampus Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri (ILMAN) Sabah di sini, hari ini.


Ewon berkata, sebagai Ahli Parlimen Penampang, beliau telah memperuntukkan dana bagi kerja-kerja pembersihan, penyediaan tapak dan penimbusan tanah untuk 14 tapak yang telah dikenal pasti. Sementara itu, MPPg akan membuat perolehan bagi pelaksanaan pembinaan rumah berkenaan.

ree

Pada masa ini, seramai 116 orang daripada 27 keluarga ditempatkan di ILMAN sebagai penempatan sementara sehingga rumah baharu mereka siap dibina.


“Susulan permintaan keluarga-keluarga yang dipindahkan ke sini, saya juga akan membekalkan keperluan tambahan iaitu peti sejuk, mesin basuh pakaian, dapur-dapur gas tambahan, meja dan kerusi untuk disampaikan pada hari esok.


“Saya juga menyediakan peruntukan sebanyak RM20,000 bagi membantu keperluan penyelenggaraan kecil di asrama kampus ILMAN yang digunakan oleh keluarga-keluarga ini,” katanya.

ree

Ewon berkata, 439 ketua isi rumah yang dipindahkan ke semua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Penampang telah menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) daripada kerajaan.


Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Pemangku Presiden MPPg, Noemi selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Penampang atas dedikasi dan pengurusan bencana yang cekap dan teratur.

ree

“Saya juga ucapkan terima kasih kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan gerakan koperasi Wilayah Persekutuan yang menyumbangkan bantuan bakul makanan dan hidangan KFC kepada keluarga yang dipindahkan di sini,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page