Ewon hargai sumbangan media Sabah, alu-alukan penubuhan Koperasi Wartawan Sabah Berhad
5 April 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menghargai sumbangan media dan mengalu-alukan penubuhan Koperasi Wartawan Sabah Berhad.
Beliau berkata, peranan media amat penting untuk menyampaikan maklumat dan dasar-dasar kerajaan serta program-program kementerian.
“Kementerian menganggap media adalah rakan strategik jangka masa panjang. Saya berharap hubungan baik antara rakan-rakan media dapat dimantapkan bagi membantu membuat hebaan program-program kementerian.
“Saya berharap majlis seumpama ini dapat merapatkan lagi hubungan persahabatan dan memupuk semangat “kekitaan” dalam kalangan rakan strategik kementerian, pegawai-pegawai dan kakitangan agensi-agensi kementerian terutamanya di Sabah.
“Saya amat yakin dengan kebersamaan kita seperti ini, kita mampu membimbing usahawan-usahawan dan bakal usahawan termasuk gerakan koperasi, penjaja dan peniaga kecil supaya suatu hari nanti mereka boleh berbangga dengan perkhidmatan terbaik yang telah kita berikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Iftar Agensi-agensi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan Media, di Promenade Hotel, di sini, semalam.
Ewon turut menyatakan, Coop Bank Pertama akan melancarkan satu lagi cawangan Coop Bank di Papar.
Katanya, pertambahan cawangan itu akan membuka ruang kepada rakyat Malaysia di Sabah menikmati perkhidmatan yang lebih baik dalam gerakan koperasi dan keusahawanan.
“Agensi-agensi seperti Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) telah membuka pejabatnya di Sabah dan mulai mengadakan latihan serta program keusahawanan yang diperlukan oleh golongan usahawan.
“Selain itu, kita juga akan memulakan pembinaan Tamu Desa pada bulan ini dan berharap pembinaan Tamu Desa pertama yang telah dikenalpasti dapat dimulakan bulan ini.
“Dengan pembinaan Tamu Desa itu kelak akan memberi nilai tambah serta peluang kepada para penjaja dan peniaga kecil menikmati ruang niaga yang lebih selesa, dengan bantuan agensi-agensi kementerian sepeti Tekun Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan SME Corp,” katanya.
Ewon turut merakamkan penghargaan kepada kesemua 10 agensi di bawah KUSKOP di Sabah atas perkhidmatan terbaik.
“Saya amat berbangga melihat kejayaan yang dicapai oleh KUSKOP dan semua agensi KUSKOP termasuklah ANGKASA dan Bank Rakyat. Saya sentiasa melihat perkembangan dan pencapaian di kementerian saya termasuk agensi KUSKOP bagi memastikan penyampaian perkhidmatan sentiasa ‘above and beyond’ ekspektasi rakyat.
“Kementerian KUSKOP akan terus komited membangun dan meningkatkan pencapaian usahawan dan koperasi ke tahap yang lebih tinggi.
“Saya juga mengharapkan agar penglibatan dan kolaborasi antara koperasi-koperasi dan usahawan serta agensi dapat diperkukuhkan dan bersama-sama memikul tanggungjawabmewujudkan Malaysia sebuah negara keusahawanan yang unggul,” katanya.
Comments