Motosikal Terbabas, Penunggang Digilis Kenderaan Tidak Dikenali
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
19 Mac 2026
KOTA BELUD: Seorang penunggang motosikal lelaki tempatan berusia 20 tahun maut dalam kemalangan jalan raya yang berlaku kira-kira jam 2.05 petang pada 16 Mac lepas di Jalan Tamparuli-Ranau, berhampiran Simpang Kg. Kiau, Kota Belud.
Mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC135 dipercayai hilang kawalan ketika melalui jalan lurus menuruni bukit, menyebabkan motosikal yang ditunggang terbabas. Dalam kejadian tersebut, mangsa disyaki telah digilis oleh sebuah kenderaan yang datang dari arah bertentangan.
Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Kota Belud. Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ) iaitu menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau berbahaya.
Polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini, terutamanya mengenai kenderaan yang dipercayai terlibat (jenis dan nombor pendaftaran tidak diketahui), untuk tampil membantu siasatan. Maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Trafik IPD Kota Belud, Inspektor Mohd Firdaus Che Mustafa di talian 088-976600 sambungan 225.
Polis menasihati orang ramai agar sentiasa berhati-hati semasa memandu, mematuhi undang-undang jalan raya, dan memastikan kenderaan dalam keadaan baik bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.















Comments