Ewon hargai usaha MCMC bina lebih banyak menara telekomunikasi di luar bandar Sabah
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon hargai usaha MCMC bina lebih banyak menara telekomunikasi di luar bandar Sabah

24 April 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menghargai usaha Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membina lebih banyak menara telekomunikasi di Sabah khususnya di kawasan luar bandar.


Beliau berkata, ini penting untuk memudahkan operasi komuniti usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta koperasi terutamanya dari segi pemasaran secara digital dan maya.


“Saya ucap terima kasih di atas komitmen MCMC untuk memperluaskan liputan telekomunikasi di seluruh negara termasuk di kawasan pedalaman Sabah bukan hanya untuk merapatkan jurang digital di kawasan bandar dan luar bandar tetapi salah satu pembolehubah penting kepada komuniti PMKS dan koperasi.


“Misalnya, permohonan-permohonan bantuan, geran, pembiayaan, persijilan dan program bimbingan kini memerlukan proses secara atas talian.

“Justeru, liputan telekomunikasi sangat penting agar rakyat terutama PMKS dan koperasi tidak ketinggalan dari segi maklumat dan kemudahan yang disediakan oleh pelbagai kementerian, agensi dan jabatan kerajaan,” katanya.


Semasa menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, kelmarin, beliau singgah mengunjungi reruai perkhidmatan MCMC di DUN Sabah, bagi mendapatkan maklumat ringkas pembangunan liputan telekomunikasi khususnya bagi kawasan DUN Kadamaian dan Parlimen Penampang.


Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, berdasarkan taklimat ringkas daripada pegawai MCMC Sabah, setakat Februari tahun ini satu menara baharu siap di kawasan Kadamaian dan dua lagi dalam pelaksanaan selepas pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).


“Dari segi penyediaan liputan 5G di kawasan Kadamaian, dua tapak pemancar beroperasi dan satu lagi dalam pelaksanaan,” katanya.


bottom of page