Ewon kemuka 5 isu utama rakyat Kadamaian di sidang DUN
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon kemuka 5 isu utama rakyat Kadamaian di sidang DUN

22 April 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick mengemukakan lima isu utama rakyat Kadamaian pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.


Beliau berkata, isu-isu itu berkaitan penaiktarafan jalan luar bandar, potensi baharu pelancongan Gunung Kinabalu di kawasan Kadamaian, penyukatan tanah anak negeri di bawah Program PANTAS, cadangan pembinaan loji air dan kemudahan pengairan dan saliran.


“Saya memohon supaya beberapa jalan luar bandar di kawasan Kadamaian dinaiktaraf, iaitu jalan Gaur-Pinolobuh-Mangkulat yang melibatkan tiga buah sekolah rendah.


“Selain itu, jalan Kebidahan-Takulung melibatkan sebuah sekolah dan jalan Piasau-Dundau melibatkan sebuah sekolah dapat dimasukkan sebagai keutamaan negeri dalam Rolling Plan 5 (RP5) RMK12 tahun depan atau sekurang-kurangnya RP1 RMK13 pada tahun 2026.


“Saya juga meminta agar penaiktarafan jalam Mandap-Doluoh-Kinasaraban dapat disegerakan,” katanya.


Ewon turut merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan atas penaiktarafan tiga jalan utama di Kadamaian yang sedang dilaksanakan sekarang iaitu jalam Tengkurus-Lahanas, jalan Sayap-Mansulit dan jalam Podos-Taginambur.


Beliau juga mahu agar Kerajaan Sabah segera membangunkan potensi baharu pelancongan Gunung Kinabalu di kawasan Kadamaian terutama di Kg Sayap, Kg Lobong-Lobong dan Kg Kiau sebagai pusat pelancongan baharu selain Taman Kinabalu dan Mesilau


“Saya hargai usaha-usaha yang dibuat oleh Taman-Taman Sabah yang telah mengenalpasti potensi-potensi baharu ini dan saya mencadangkan agar kerjasama dengan koperasi-koperasi pelancongan komuniti di kampung-kampung tersebut dapat diperkasakan,” katanya.


Mwngenai penyukatan tanah, Ewon juga mahu agar Kerajaan Sabah meneruskan penyukatan tanah anak negeri di bawah Program PANTAS di Kg Kiau dan seterusnya di Kg Sayap, Kg Terintidon, Kg Lobong-Lobong, Kg Kaung, Kg Tambatuon, Kg Melangkap dan Kg Lasau.


“Pemilikan tanah bergeran merupakan syarat utama program bantuan pertanian.


“Maka rakyat yang mengusahakan pertanian bukit ini perlu dibantu memiliki geran tanah mereka di bawah PANTAS.


Saya mencadangkan agar Kerajaan Sabah meminta peruntukan yang lebih besar daripada Kerajaan Persekutuan bagi penyukatan tanah di bawah PANTAS di bawah program khas Anak Negeri Sabah di Persekutuan,” katanya.


Selain itu, Ewon juga memohon supaya Kerajaan Sabah memasukkan semula cadangan loji bekalan air di Sungai Kadamaian dan cadangan baharu loji bekalan air di Sungai Wariu dapat dijadikan sebagai keutamaan dalam RMK13.


Katanya, ini penting bagi membekalkan air terawat di kampung-kampung dalam kawasan DUN Kadamaian serta kampung-kampung lain di DUN bersebelahan dengan Kadamaian.


Dari segi kemudahan pertanian, beliau juga mahu agar Kerajaan Sabah segera menaiktaraf kemudahan pengairan dan saliran ke kawasan sawah padi yang utama seperti di Kg Tegudon, Kg Tambulion, Kg Piasau, Kg Kinasaraban Kg Tambulion dan kampung-kampung lain.


“Saya menerima banyak aduan daripada pesawah-pesawah padi di Kadamaian mengenai masalah pengairan, hakisan tebing sungai, jalan perhubungan dan kekurangan jentera.


“Saya berharap Kerajaan Sabah dapat tampil dengan rancangan penyelesaian kepada aduan-aduan ini supaya mereka dapat terus menanam padi dan memainkan peranan dalam sistem rantaian bekalan serta keterjaminan makanan terutama padi beras di Sabah,” katanya.

bottom of page