Ewon kemuka empat syor memperkasa pelaksanaan Bajet Sabah
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon kemuka empat syor memperkasa pelaksanaan Bajet Sabah

29 November 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick mengemukakan empat syor bagi memperkasa pelaksanaan Bajet Sabah 2023.


Syor tersebut bukan hanya untuk pelaksanaan Belanjawan Negeri 2023 tetapi juga berkaitan dengan Belanjawan Persekutuan untuk Sabah bagi tahun hadapan.


“Syor pertama, saya ingin mengulangi cadangan saya selama ini untuk menubuhkan Jawatankuasa Antara Parti di Dewan Undangan Negeri bagi menuntut hak-hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia dan Perlembagaan Persekutuan terutama hak 40% ke atas hasil persekutuan di Sabah.


“Di blok Kerajaan, pastinya proses perundingan akan diteruskan. Sementara sebahagian kita pula telah ke mahkamah untuk menuntut hak Sabah ini. Dalam dinamik politik hari ini, kesatuan usaha sangat penting dan inilah masanya kita memperkasakan kesatuan kita untuk sama-sama menuntut hak ini.


“Kita boleh mencadangkan pemungutan hasil 40% ini dengan hasil persekutuan yang mudah dihitung seperti cukai pendapatan,” katanya.


Ewon turut mencadangkan agar Kerajaan Sabah menerbitkan bon pembangunan yang dijamin oleh Kerajaan Persekutuan bagi digunakan untuk membiayai pembangunan infrastruktur.


“Syor kedua saya ialah bagi Kerajaan Sabah menerbitkan bon pembangunan dan perlu dijamin oleh Kerajaan Persekutuan. Jika Kerajaan Persekutuan tidak dapat membayar bersekaligus 40% hasil persekutuan di Sabah, maka mereka perlu menjamin bon ini sebagai salah satu pendekatan untuk melaksanakan hak 40% Sabah tersebut.


Ewon yang juga bakal Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) juga mencadangkan agar satu akaun amanah diwujudkan bagi penyaluran peruntukan-peruntukan persekutuan.


“Syor ketiga saya ialah bagi Kerajaan Sabah menubuhkan akaun amanah khas bagi menyalurkan peruntukan-peruntukan persekutuan. Akaun amanah ini penting supaya tidak ada lagi istilah peruntukan dikembalikan kepada persekutuan pada setiap hujung tahun apabila projek tersebut tidak dilaksanakan.


“Peruntukan persekutuan tersebut memangpun untuk Sabah, jadi tidak ada sebab kenapa ianya perlu dikembalikan apabila satu-satu projek itu tidak dilaksana pada tahun tersebut. Apa yang penting ialah pemantauan dan penyelarasan pelaksanaan projek yang lebih tegas dan efisien.


“Kita mahu kontraktor dan konsultan yang diberi mandat melaksana projek tersebut dipantau secara tegas oleh Kerajaan supaya tidak ada projek yang bertangguh,” katanya.


Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang turut mencadangkan agar Wakil-Wakil Rakyat mempengerusikan jawatankuasa pemantauan pelaksanaan projek di kawasan yang diwakili masing-masing.


“Syor keempat saya ialah bagi Wakil-Wakil Rakyat samada ADUN atau Ahli Parlimen dibolehkan untuk mempengerusikan Jawatankuasa Pemantuan Pelaksanaan Projek-Projek Berimpak Tinggi di daerah atau kawasan yang diwakili masing-masing.


“Saya percaya banyak yang boleh diselesaikan di peringkat daerah bagi mempercepatkan pelaksanaan projek-projek pembangunan, tetapi saya juga percaya masih ada perkara yang berada di luar bidang kuasa daerah.


“Jika ada perkara yang tidak dapat diselesaikan di peringkat daerah, maka tanggungjawab Wakil Rakyat sebagai Pengerusi Jawatankuasa untuk membangkitkan perkara tersebut di Dewan Undangan, Dewan Rakyat atau lebih baik lagi di Kabinet,” katanya.


Ewon turut menyatakan kesediaan beliau untuk bekerjasama dengan Kerajaan Sabah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Mohd Noor sesuai dengan dinamik pembentukan Kerajaan Perpaduan Persekutuan pimpinan Dato Seri Anwar Ibrahim.


“Pilihanraya umum telah berlalu dan telah mengujudkan dinamik baharu politik negara melalui pembentukan Kerajaan Perpaduan. Sepertimana di peringkat persekutuan, begitulah juga harapan saya di peringkat Sabah agar kita dapat menggembleng usaha dan kesatuan untuk melakukan yang terbaik untuk rakyat Sabah. Saya mahu mulakan kerjasama ini dengan salam perpaduan,” katanya.


Ewon menyatakan demikian semasa berbahas ke atas belanjawan negeri Sabah tahun 2023 yang dibentangkan oleh Ketua Menteri pada Jumaat yang lepas.

bottom of page