- Wartawan Nabalu News
Ewon kemukakan 59 soalan untuk sidang DUN

5 Disember 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick telah mengemukakan 59 soalan untuk sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang akan berlangsung esok hingga Khamis.
Menurut beliau, sebanyak sembilan soalan lisan dan 50 soalan bertulis dikemukakan kepada pelbagai kementerian mencakupi isu-isu yang menjadi keprihatinan utama rakyat termasuk hal-hal pembangunan di kawasan DUN Kadamaian.
“Seperti lazimnya, saya mengemukakan soalan-soalan berkenaan tadbir urus pembangunan fizikal seperti jalan raya dan klinik kesihatan di Kadamaian. Juga berkenaan isu perkampungan dalam Hutan Simpan dan sempadan Taman-Taman Sabah serta apa tindakan Kerajaan mengenai hakisan tebing Sungai Kadamaian dan sungai-sungai lain.
"Selain itu, saya juga bertanyakan apa perkembangan semasa tuntutan ke atas hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia dan Perlembagaan Persekutuan khususnya berkenaan pemungutan hasil. Juga berkenaan apa tindakan ke atas pendatang asing di Sabah termasuk yang telah menerima suntikan vaksin Covid-19.
“Perkara-perkara lain termasuk apa tindakan Kerajaan mengenai kenaikan mendadak harga barang dan isu kemiskinan akibat pandemik Covid-19,” katanya.
Ewon berkata demikian ketika dihubungi wartawan Nabalu News berkenaan isu-isu yang akan dibangkitkan oleh beliau dalam sidang DUN kali ini.
Ewon yang juga Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menambah perkara-perkaitan berkaitan syor agenda reform tadbir urus Sabah juga antara yang beliau kemukakan.
“Ini termasuk isu-isu yang terkait dengan Nature Conservation Agreement (NCA) yang telah ditandatangani oleh Kerajaan Negeri pada Oktober lepas.
“Saya juga akan mengambil bahagian dalam ucapan perbahasan ke atas belanjawan Sabah 2022 yang telah dibentangkan oleh Ketua Menteri (Datuk Hajiji Noor) pada Jumaat lepas.
“Saya berpendapat ianya adalah belanjawan yang konservatif sama seperti belanjawan-belanjawan sebelum ini. Justeru, perbahasan saya akan mengkhusus kepada keperluan Belanjawan Khas Pemulihan Pasca Pandemik Covid-19 Sabah dan bagaimana ianya boleh dibiayai menggunakan platform DUN.
“Saya berpendapat ada keperluan untuk Kerajaan Negeri tampil dengan belanjawan khas yang progresif bagi memulihkan kerosakan ekonomi akibat Covid-19 dan sesuatu yang boleh dianggap “out of the box”. Ianya mungkin tidak ada dalam Belanjawan yang telah dibentangkan pada Jumaat lepas tetapi boleh dibentangkan sebagai supplementary budget,” katanya.