Ewon komited beri perkhidmatan terbaik kepada rakyat Penampang
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon komited beri perkhidmatan terbaik kepada rakyat Penampang


1 Mei 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick mengulangi komitmennya untuk terus bekerja keras memberikan perkhidmatan terbaik kepada seluruh rakyat Penampang yang memberikan kemenangan dan sokongan padu kepadanya pada pilihan raya umum lalu.


Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mengakui pilihanraya yang lalu amat mencabar namun sokongan dan kerjasama semua jentera Pakatan Harapan (PH) Penampang memberikan kemenangan kepada PH.


“Ini bukan kemenangan saya dan UPKO sendiri, tetapi kemenangan PH Penampang dan penduduk Penampang secara keseluruhannya. Tanpa jentera PH, kita tidak menang di sini.


“Saya ucapkan terima kasih atas komitmen dan sumbangan semua jentera dalam memastikan kemenangan PH Penampang,” katanya ketika berucap pada Majlis Kesyukuran sempena kemenangan beliau pada PRU-15, anjuran PH Penampang, di JBorneo, di sini, semalam.


Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, banyak isu pembangunan di kawasan Penampang yang memerlukan perhatian kerajaan.


“Sebab itu saya mencadangkan satu Pelan Pembangunan Penampang bagi memudahkan kita mengurus dan menyelesaikan isu-isu atau keperluan rakyat Penampang secara keseluruhannya.


“Pelan Pembangunan Penampang itu akan dibukukan dan menjadi dokumen rasmi kerajaan bagi memudahkan kita mendapatkan peruntukan,” katanys.


Sehubungan itu beliau berharap penduduk kampung dan taman-taman perumahan dapat memberi pandangan dan sokongan kepada Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) yamg akan melaksanakan pelan pembangunan ini.


Ewon berkata, beliau akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Penampang dan berusaha menyelesaikan isu-isu pembangunan yang tertangguh antaranya penaiktarafan Tamu Donggongon dan Klinik Kesihatan Penampang.

“Selain itu, saya juga akan berusaha melawat kampung-kampung dan taman-taman perumahan di kawasan Penampang untuk mendengar dan melihat sendiri keperluan mereka seterusnya mencari jalan penyelesaian,” katanya.


Mengenai pembangunan keusahawanan dan koperasi khususnya di kawasan Penampang, Ewon berkata, kesemua 10 agensi di bawah kementeriannya menyediakan pelbagai program, skim-skim pembiayaan dan kursus untuk tujuan itu.


Katanya lagi sempena sambutan Kaamatan di Penampang, beberapa agensi kementeriannya telah dijemput mengadakan pameran bagi memudahkan penduduk kampung mendapatkan maklumat lanjut mengenai peranan dan perkhidmatan yang disediakan agensi-agensi berkenaan.


Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kapayan Jannie Lasimbang, Ketua PKR Penampang Joseph Alex Chang dan jentera-jentera parti yang bekerja keras pada pilihan raya umum yang lalu di Penampang.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page