Ewon lancar produk Coffee Cactus Koperasi Koupio
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon lancar produk Coffee Cactus Koperasi Koupio 



8 Disember 2023

Oleh Wartawan Nabalu News

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick melancarkan Coffee Cactus Produk Koperasi Peniaga Usahawan Inanam Berhad (KOUPIO) di Ibis Styles, di sini, hari ini.

 

Majlis itu diadakan sempena Program Pempromosian dan Penggalakan Koperasi Peringkat Parlimen Sepanggar Tahun 2023 anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

 

Ewon berkata, konsep “Membudayakan Masyarakat Berkoperasi” bertepatan dengan program SKM untuk melahirkan masyarakat berilmu keusahawanan melalui koperasi.

 

“Oleh itu saya menyarankan penduduk di Parlimen Sepanggar khususnya DUN Inanam supaya berusaha menubuhkan koperasi yang pastinya akan memberi impak positif kepada ekonomi masyarakat.

 



“Setakat ini koperasi yang berdaftar di Parlimen Sepanggar adalah 81 buah dan kawasan DUN Inanam adalah 40 buah koperasi.

 

“Saya melihat kawasan Inanam juga berpotensi dan sesuai untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti koperasi dalam komuniti. Sebagai contoh, Koperasi Desa Cinta Kobuni Berhad yang terletak di Kampung Kobuni, melaksanakan aktiviti berkaitan pelancongan seperti homestay, hiking dan sewaan van.

 

“Aktiviti dalam komuniti bukan sahaja dapat memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, bahkan memperkenalkan keunikan sesebuah daerah mahupun kampung tersebut. Oleh itu, saya menyeru agar masyarakat di kawasan Parlimen Sepanggar khususnya Inanam melaksanakan aktiviti perniagaan dalam koperasi,” katanya, ketika berucap pada majlis itu.

 



Sementara itu ketika ditemui pemberita kemudian, Ewon berkata, Coffee Cactus adalah produk pertama yang dibangunkan koperasi itu.

 

“Saya juga mengalu-alukan inisiatif koperasi ini untuk memulakan penanaman serai wangi sebagai bahan mentah untuk dijadikan essential oil dengan kolaborasi Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan kementeian saya,” katanya.

 

Dengan itu, beliau bersetuju meluluskan peruntukan RM20,000 di bawah Skim Pembangunan Produk oleh SKM untuk membangunkan produk koperasi termasuk pelabelan, pembungkusan dan promosi produk Coffee Cactus.

 

“Sebagai tambahan, saya bersetuju memberikan peruntukan khas menteri sebanyak RM20,000 awal tahun depan untuk koperasi ini memulakan penanaman serai wangi dikalangan ahli dan penduduk sekitar Inanam.

 



“Saya yakin inisiatif-inisiatif seperti ini boleh membawa masyarakat kita yang mempunyai aset seperti tanah untuk diusahakan lebih produktif seterusnya mengeluarkan mereka daripada belenggu kemiskinan,” katanya.

 

Turut hadir Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan merangkap Adun Inanam Peto Galim, Ketua Pegawai Eksekutif SKM Rusli Jaafar, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Dr.Roland Chia, Ahli Lembaga Pengarah SKM Datuk Wong Thien Fook, Pegawai Pemimpin Pembangunan Masyarakat William Majimbun dan Pengerusi Koperasi Usahwan Peniaga Inanam Berhad Datin Esther Sikayun.

 

bottom of page