Ewon lancar QRPay dan Skim Usahawan Mikro Smartlink Capital
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon lancar QRPay dan Skim Usahawan Mikro Smartlink Capital

22 Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahwan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick melancarkan QRPay dan Skim Usahawan Mikro Smartlink Capital.


Beliau berkata, pengembangan QRPay sebagai E-wallet bersama dengan fasiliti Mastercard di Sabah bersesuaian dengan aliran teknologi digital semasa.

 

“Selaku Menteri di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, saya mengalu-alukan aktiviti-aktiviti yang mendokong pembangunan keusahawanan di negara kita.


“Era digitalisasi telah merubah dan mengubah cara kita bertransaksi di mana pembayaran untuk pembelian barang dan perkhidmatan dilakukan secara elektronik dan menggunakaan E-wallet.

“Sehubungan itu, saya mengalu-alukan pengembangan QRPay ke Sabah,” katanya ketika berucap merasmikan majlis pelancaran QRPay dan Skim Usahawan Mikro Smartlink Capital, di Sabah International Convention Center (SICC), di sini, hari ini.


Beliau yang kini berada di Kuala Lumpur untuk mengikuti persidangan di Dewan Rakyat, menyampaikan ucapan perasmian secara online.


Ewon berkata, Sabah mempunyai bilangan penduduk lebih 3.3 juta orang dan merupakan tempat tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara.


“Ia sudah semestinya menjamin kepelbagaian transaksi contohnya di hotel-hotel, pusat-pusat kraftangan, restoran dan gerai, pusat membeli belah dan destinasi pelancongan lain di seluruh Sabah.

 

“Lembaga Pelancongan Sabah juga melaporkan lebih 1.7 juta pelancong melancong ke Sabah pada 2022 dan ini satu jumlah yang amat memberangsangkan,” katanya.

 

QRPay mempunyai 8201 pengguna dengan jumlah transaksi terkumpul lebih RM13.5 juta.

bottom of page