Ewon lancar Tabung Pendidikan Yayasan ANGKASA bantu anak ahli koperasi Sabah
- nabalunews
- 2 hours ago
- 2 min read

23 Oktober 2025
KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick melancarkan Tabung Pendidikan Yayasan ANGKASA bagi membantu para pelajar daripada kalangan anak-anak ahli koperasi di negeri ini.
Beliau berkata, sejak tahun 2000 hingga kini Yayasan ANGKASA telah menyalurkan bantuan pembiayaan pendidikan kepada 1,898 pelajar di seluruh negara dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM34.9 juta.
“Daripada jumlah itu, 14 pelajar dari Sabah telah menerima manfaat berjumlah RM183,000.
“Pelancaran tabung pendidikan ini menunjukkan komitmen dan kesungguhan gerakan koperasi membantu anak-anak ahli koperasi, khususnya di Sabah.
“Saya berharap lebih banyak koperasi dan sektor korporat tampil menyumbang melalui Yayasan ANGKASA,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis Hi-Tea dan Pelancaran Tabung Pendidikan Yayasan Angkasa, di Klagan Hotel, di sini hari ini.
Ewon berkata, di peringkat kementeriannya, beliau bersetuju supaya sumbangan kepada Yayasan Angkasa oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dapat ditambah daripada RM500,000 kepada RM1 juta tahun ini.
“Kalau tahun lepas itu kita menyalurkan dana daripada Kumpulan Wang Amanah Koperasi sebanyak RM500 ribu, pada tahun ini kita bersetuju menyalurkan RM1 juta iaitu tambahan sekali ganda supaya Yayasan Angkasa dapat membantu lebih ramai lagi anak-anak dari kalangan ahli koperasi yang memerlukan bantuan khususnya dari kalangan B40 ataupun keluarga yang berhadapan dengan cabaran untuk menampung yuran pengajian anak-anak di kampus,” katanya.

Beliau berkata selain bantuan daripada Yayasan Angkasa, kerajaan negeri Sabah juga telah bersetuju memperuntukkan 35 biasiswa kerajaan negeri kepada pelajar Sabah yang ingin melanjutkan pengajian di Universiti Koperasi Malaysia (UKKM).
“Sabah adalah kerajaan negeri pertama yang menyediakan biasiswa untuk pelajar dari negeri ini di UKKM. Saya amat menghargai komitmen dan kerjasama kerajaan negeri,” katanya.
Katanya lagi, perbincangan dengan kerajaan Sarawak dan beberapa kerajaan negeri lain di Semenanjung juga telah diadakan supaya turut mempertimbangkan penyediaan biasiswa melalui yayasan negeri masing-masing bagi pelajar yang ingin menuntut di UKKM.