Ewon lancarkan Hab PMKS, Pejabat baharu SME Corp Malaysia, Sabah dan Program BEEP Plus
- Wartawan Nabalu News
- May 3
- 2 min read

3 Mei 2025
PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick melancarkan Hab Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan pejabat baharu SME Corp Malaysia, Sabah, di Donggongon Square, di sini, hari ini.
Pada majlis itu beliau turut melancarkan Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) Plus bagi tahun 2025.
Ketika berucap Ewon berkata, Hab PMKS itu menyediakan kemudahan komuniti perniagaan dan bakal usahawan Sabah terutamanya di daerah Penampang.
“Hab ini akan menjadi pusat sehenti kepada PMKS untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada kaunselor perniagaan dan maklumat mengenai program-program keusahawanan yang ditawarkan kerajaan.
“Saya dimaklumkan pada tahun 2024, seramai 10,035 PMKS telah mengunjungi Hab PMKS SME Corp. secara fizikal manakala 2,607 PMKS telah mengunjungi Hab tersebut sepanjang Januari hingga Mac tahun ini,” katanya.

Ewon berkata dengan pelancaran Hab PMKS di Sabah akan mempermudahkan PMKS di negeri ini memperolehi maklumat cepat, tepat dan menyeluruh mengenai keusahawanan dan perniagaan.
Mengenai Program BEEP Plus, Ewon gembira dengan pencapaian program itu yang diwujudkan khusus untuk perusahaan mikro di Sabah dan Sarawak, selaras dengan Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara yang beliau perkenalkan.
Katanya pelancaran Program BEEP Plus adalah kesinambungan daripada inisiatif Kerajaan Madani yang memberi tumpuan khusus kepada perusahaan mikro di Malaysia Timur.
“Mengambil kira sambutan baik daripada PMKS Sabah dan Sarawak, BEEP Plus ini akan diteruskan pelaksanaannya pada tahun 2025,” katanya.
Dalam pada itu, Ewon turut menyentuh tentang rancangan kerajaan untuk memperkasa PMKS menerusi strategi penskalaan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), termasuk sasaran pendigitalan 90 peratus PMKS menjelang hujung tahun ini.

Selain itu, beliau berkata penganjuran SME Venture @ ASEAN 2025 pada 16 hingga 18 Oktober 2025 di MITEC, Kuala Lumpur bakal menjadi platform penting untuk mempromosikan produk PMKS ke pasaran antarabangsa, dengan sasaran lebih 10,000 pengunjung dan penyertaan lebih 300 pempamer tempatan dan antarabangsa.
Comments