Ewon lancarkan MyRoof Hub di Penampang, sedia perkhidmatan kepada pemain industri
- nabalunews
- 2 hours ago
- 2 min read

4 Disember 2025
PENAMPANG: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick melancarkan MyRoof Hub, pusat sehenti penyelesaian bumbung pertama di Sabah bertujuan meningkatkan akses, kualiti dan profesionalisme dalam industri pembinaan di negeri ini.
Beliau berkata, inisiatif seperti MyRoof Hub seiring dengan keutamaan kementeriannya termasuk menaik taraf industri, memodenkan rantaian bekalan, menyokong inovasi PKS dan menggalakkan penggunaan bahan binaan berkualiti tinggi serta mampan.
Katanya, kerajaan mengalu-alukan lebih banyak penyertaan sektor swasta yang berupaya meningkatkan standard industri dan memberi manfaat jangka panjang kepada pembangunan negeri.
“Sebagai menteri yang dipertanggungjawabkan untuk memimpin kementerian ini, saya perlu memberi respon terhadap isu-isu yang dibangkitkan oleh para pemain industri, termasuk jemputan seperti ini.
“Kehadiran saya menunjukkan komitmen saya, komitmen kerajaan dan kementerian untuk terus membangunkan satu ekosistem keusahawanan yang mesra SME, mesra pelabur, mesra usahawan dan mesra semua pihak berkepentingan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis itu, di sini, hari ini.
Ewon berkata, dalam taklimat di kementerian semalam, beliau telah menggariskan wawasan untuk menubuhkan Sabah First Team di kementeriannya bagi membangunkan ekosistem yang lebih baik.
“Walaupun ekosistem sedia ada sudah baik, masih terdapat ruang untuk kita menambah baik.
“Fokus kedua ialah untuk kita berganding bahu dengan pemain industri dalam usaha meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan usahawan serta sektor industri di Sabah.
“Pada masa yang sama, kementerian dan agensi-agensi di bawahnya juga perlu meningkatkan kualiti perkhidmatan supaya para pemain industri, SME, pelabur dan peniaga merasakan kementerian ini dekat dengan mereka dan menjadi sebahagian daripada ekosistem mereka.
“Inilah ekosistem Sabah First yang ingin saya terapkan dan jayakan di kementerian ini, supaya selepas lima tahun saya memimpin, rakyat Sabah berhak menilai sama ada saya telah berjaya memenuhi aspirasi mereka atau sebaliknya,” katanya.
Ewon turut menegaskan bahawa turun padang dan berinteraksi secara langsung dengan pemegang taruh amat penting untuk memahami realiti sebenar industri, sekali gus membantu kerajaan merangka dasar yang lebih tepat serta hala tuju pembangunan yang lebih jelas.


















Comments