Ewon Letak Jawatan Dari Kabinet Persekutuan, Tegas Pertahan Hak 40 Peratus Sabah
- nabalunews
- 52 minutes ago
- 2 min read

8 November 2025
KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick, hari ini, mengumumkan keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai anggota Kabinet Persekutuan.
Ia susulan pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) terhadap isu pelaksanaan hak 40 peratus hasil Sabah seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Dalam satu kenyataan rasmi, Ewon menjelaskan, keputusan itu dibuat berasaskan prinsip perjuangan UPKO yang berpaksikan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta pengiktirafan hak-hak Sabah yang dijamin dalam dokumen perlembagaan negara.
“Dalam perlembagaan Parti UPKO, antara matlamat penubuhan parti ialah memperjuangkan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 dan hak-hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Saya telah meneliti penghakiman bertulis Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Celestina Stuel Galid, berhubung semakan kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society (SLS) dan mendapati pendirian AGC dalam kes tersebut telah mengabaikan sejarah pembentukan Persekutuan Malaysia.
“Pendirian dan pandangan AGC seperti yang dinyatakan dalam penghakiman bertulis itu mengabaikan syarat-syarat persetujuan Sabah menyertai penubuhan Malaysia sebagaimana termaktub dalam dokumen-dokumen asas perlembagaan. Saya tidak dapat bersetuju dengan pendirian tersebut,” tegasnya.
Ewon menjelaskan, sebagai penasihat undang-undang kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan, pandangan AGC mempunyai implikasi besar terhadap dasar dan keputusan Kabinet.
“Sangat janggal untuk saya meneruskan keanggotaan dalam Kabinet Persekutuan dengan pendirian AGC yang saya percaya akan kekal. Pendekatan mereka terhadap hak 40 peratus Sabah sepanjang tiga tahun saya di Kabinet amat bertentangan dengan pendirian saya sebagai Presiden UPKO,” katanya.
Sehubungan itu, Ewon mengingatkan, perjuangan terhadap hak 40 peratus itu telah lama menjadi agenda peribadi dan parti, termasuk tindakan beliau sendiri memfailkan Saman Pemula terhadap Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah pada Jun 2022, sebelum menariknya semula pada September 2023 bagi memberi ruang kepada rundingan.
“Sebagai Presiden UPKO, saya ingin melihat hak Sabah itu dilaksanakan. Itu prinsip dan sebab saya menyertai politik,” ujar beliau.
Ewon turut menegaskan bahawa AGC seharusnya tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, sebaliknya memulakan rundingan dengan Kerajaan Sabah untuk melaksanakan hak tersebut.
“Saya telah menyatakan bahawa saya tidak dapat menyokong sebarang keputusan yang bercanggah dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober lalu dan bersedia meletakkan jawatan daripada Kabinet Persekutuan,” jelas beliau.
Ewon memaklumkan, beliau akan mengutus surat rasmi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi memaklumkan secara rasmi mengenai peletakan jawatannya.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas ruang kebersamaan dalam Kabinet Persekutuan yang telah memberi peluang kepada saya memperjuangkan hak-hak Sabah.
“Sebagai langkah seterusnya, saya akan memanggil Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UPKO pada Isnin depan untuk membincangkan agenda Sabah First yang menjadi asas halatuju parti itu,” katanya.














