Ewon luluskan peruntukan RM200,000 bina premis Tamu Desa Kg.Tuguson
- nabalunews
- Jun 13
- 1 min read

13 Jun 2025
KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, meluluskan peruntukan sebanyak RM200,000 untuk menaiktaraf premis Tamu Desa di Kampung Tuguson yang akan dilaksanakan tahun ini.

Beliau berkata, pembinaan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Kerajaan Madani melalui kementeriannya di bawah peruntukan Projek Pembangunan Premis Tamu Desa di Sabah dan Sarawak berjumlah RM20 juta.

“Saya menerima permohonan daripada usahawan-usahawan tamu Tuguson untuk membina premis Tamu Desa dan saya sendiri turun padang untuk meninjau kawasan yang mereka gunakan untuk tamu setiap hari Khamis dan bersetuju keperluan menaiktaraf kawasan tamu mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Kesenian Sekolah, Sambutan Kaamatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Majlis Kesyukuran Bangunan Sekolah Baharu SK Tuguson di sini, hari ini.

Pada masa ini, penduduk kampung berniaga setiap hari Khamis menggunakan pondok sedia ada yang dibina oleh Kementerian Belia dan Sukan di tepi gelanggang sepak takraw, manakala selebihnya menggunakan kanopi.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, pembinaan premis Tamu Desa di Kg. Tuguson akan dilaksanakan dengan konsep dewan terbuka, selaras dengan dua konsep utama Tamu Desa iaitu konsep dewan terbuka dan konsep gerai.

Dalam majlis itu, beliau menyampaikan sumbangan sebanyak RM20,000 menerusi inisiatif Sentuhan Kasih Adun Kadamaian bagi membina lantai konkrit di antara bangunan baharu sekolah serta RM5,000 untuk kontinjen gimrama murid SK Tuguson ke pertandingan peringkat negeri di Kota Kinabalu.


















Comments